Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu anak: Norman Hakim ambil iktibar, Abby belum ada idea respons

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Dituduh hanya berdiam diri dalam isu anaknya dituduh perampas suami orang, pelakon Norman akhirnya muncul menjawab kontroversi yang mengheret namanya dan keluarga dengan komen-komen kebencian di media sosial.

Norman berkata, dia memandang ujian yang muncul itu sebagai hikmah dan ‘teguran’ secara tidak langsung buat mereka semua.

“Terima kasih kepada yang prihatin atas ujian buat keluarga saya baru-baru ini. Kami ambil iktibar atas khilaf yang berlaku.

“Ampun maaf kalau ada khilaf, salah dan silap daripada saya seisi keluarga. Yang salah tetap salah dan pintu taubat sentiasa terbuka untuk kembali ke jalan-Nya.

“Segala kelemahan datang daripada kami dan segala yang baik hanya daripada Allah,” kata Norman di media sosial.

Pada masa sama, Norman, 47, berkata, dia “gembira” dan berlapang dada dengan kata-kata kecaman yang dilemparkan pengguna alam maya.

Pelakon Pasrah itu malah berkata, dia akan cuba memperbaiki setiap kelemahan dan menyelesaikan isu berkenaan secara tertutup.

“Saya gembira baca komen semua.

“Komen yang mungkin berbaur emosi dan kebencian, saya anggap itu semua sebagai teguran baik daripada kalian untuk saya dan keluarga agar dapat perbaiki kelemahan dan khilaf kami.

“Insya-Allah, gerak hati daripada-Nya untuk kami selesaikan secara tertutup,” kata Norman.

Mohon doa dipermudahkan

Norman malah memohon agar keluarga mereka didoakan yang baik-baik dalam mengaharungi ujian itu.

Katanya, dia juga mengalu-alukan jumlah pengikut yang tiba-tiba baru muncul mengikuti di laman Instagram serta meminta agar silaturrahim itu tidak terputus.

“Mohon doakan yang baik-baik. 75,000 leads atau pengikut baru yang hadir dua, tiga hari ini saya anggap kalian sebagai ukhwah dan silaturrahim yang harus saya sambut sebagai tetamu dengan penuh berhemah," katanya.

Terdahulu, seorang wanita anak dua mendakwa Marissa Dania Hakim sebagai sebagai perosak rumah tangga yang dibinanya.

Wanita terbabit turut memuat naik tangkap layar notifikasi tempahan e-mel yang mendakwa Marissa dan bekas suaminya pernah menginap bersama di hotel.

Untuk rekod Marissa adalah anak kepada Norman dan Abby Abadi yang pernah berumah tangga suatu ketika dulu.

Susulan itu, Abby, tampil berjanji untuk memberikan kenyataan berhubung tuduhan yang dilemparkan terhadap Marissa.

Pada 9 Sept lalu, Marissa - menerusi Instagram - membuat pengakuan bersalah terhadap kesilapannya. Namun, remaja berusia 18 tahun itu menegaskan tidak semua perkara yang ditularkan adalah 100 peratus sahih.

Sementara itu, Abby yang berjanji untuk memberikan respons balas terhadap kemelut yang berlaku berkata, dia belum mempunyai sebarang idea untuk berbuat demikian.

Katanya, dia ketika ini sedang sibuk dengan urusannya di Melaka.

“Alhamdulillah, semuanya OK saja.

“Jangan risaukan saya. Tak berkongsi perkembangan baru sebab tak ada idea,” ujarnya sambil menyertakan emoji smiley menutup muka dengan tangan.

“Doakan segala urusan kami dipermudahkan ya,” katanya.