Skip to main
Logo Malaysiakini

Pembaca berita Nightline TV3 meninggal dunia

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bekas pembaca berita TV3, Muhammad Zaman Goh Abdullah, meninggal dunia di Petaling Jaya pagi tadi.

Perkhabaran sedih itu dikongsikan isterinya, Faridah Teh, melalui kenyataan yang dikeluarkan selepas itu.

Kata Faridah, Goh - atau lebih dikenali sebagai Raymond Goh - menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang.

“Dengan rasa dukacita yang paling dalam dan berat hati kami mengumumkan pemergian Raymond Goh @ Muhammad Zaman Goh Abdullah yang menyentuh hati ribuan orang di negara ini.

“Raymond meninggal dunia dengan tenang pagi ini selepas melawan kesan serangan angin ahmar,” katanya.

Faridah dan keluarganya turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas doa dan sokongan padu yang diberikan kepada mereka sepanjang tempoh mencabar sekarang.

Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur selepas solat Asar hari ini.

Terdahulu, Goh yang merupakan wajah lazim dalam segmen Nightline TV3 itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas diserang angin ahmar dan dimasukkan ke hospital di Petaling Jaya pada 30 Ogos lalu.

Goh memulakan kerjaya sebagai penyampai berita di 7 O'clock News sebelum beralih kepada Nightline.

Allahyarham berkhidmat dalam dunia penyiaran lebih 30 tahun dan turut menjadi jurulatih pengucapan awam.