Skip to main
Logo Malaysiakini

Penderaan buat zaman kanak-kanak Janna tak indah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Ada sebab yang utama mengapa Janna Nick bertegas mahu mementaskan teatar Pak Pandir dan Lampu Ajaib ketika dia kini bukan lagi kanak-kanak, bahkan berstatus seorang isteri.

Menurut Janna, dia memilih untuk mementaskan teater tersebut sebagai cara ‘menebus’ zaman kanak-kanaknya yang pernah terisi dengan pelbagai episod hitam.

Kata Janna, dia tidak sempat menikmati kenangan yang menyenangkan semasa dia kecil.

“Cerita kanak-kanak seperti Pak Pandir sangat lucu dan sesuai untuk jiwa saya yang beremosi. Sebabnya saya tak sempat nak merasai momen indah dan gembira dulu.

“Saya 'dewasa' terlalu awal. Jadi, apabila mementaskan teater bergenre komedi dan muzikal seperti ini baru saya dapat rasakan: oh…! Begini rupanya jadi kanak-kanak,” kongsi isteri Dini Schatzmann itu.

Tambah Janna, 28, dia mula menggemari teater kanak-kanak selepas kali pertama berlakon dalam pementasan Siti di Alam Fantasi di Istana Budaya.

Justeru, pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner itu berharap melalui Pak Pandir dan Labu Ajaib, kanak-kanak yang pernah mengharungi pengalaman mengerikan sepertinya dapat melupakan trauma mereka walaupun sejenak.

“Saya yakin ada kanak-kanak lain yang melalui fasa seperti saya," katanya.

Menurut Janna lagi teater juga boleh menjadi platform yang sesuai untuk mendidik kanak-kanak mengenali cerita rakyat seperti Pak Pandir dan Mak Andeh.

Janji tak naik harga

Janna berkata demikian pada majlis pengumuman teater terbitan syarikat miliknya, JN Studio and Entertainment (M) Sdn Bhd di Seputeh, Ampang baru-baru ini.

Selain Janna, turut menjayakan teater yang bakal dipentaskan 13 hingga 15 Okt di Istana Budaya itu adalah Bell Ngasri, Puteri Sarah, Norreen Iman, Aya Amiruddin dan Naque Ariffin.

Pak Pandir dan Labu Ajaib merupakan ideal asal Janna dan mendapat arahan Aminah Rhapor manakala Amar Reza Zainal Abidin menjadi penulis skrip.

Terdahulu, Janna berkongsi perihal dia pernah didera seawal usia dua tahun. Selain itu, pelakon Bukan Puteri Lindungan Bulan itu turut berkongsi penyakit bipolar yang dideritainya.

Menurut Janna, selepas mendirikan rumah tangga dengan Dini pada 10 Jun lalu, masalah kesihatannya itu tetap muncul, cuma ia dapat ditangani dengan lebih berkesan.

"Ada kalanya saya gembira, namun ada masanya perasaan saya down sebab sakit ini bukan boleh hilang selama-lamanya.

“Cuma saya kena pandai kawal. Saya juga tak lakukan rawatan susulan lagi dan kena lakukan pemakanan sihat, bersenam dan lebih memahami penyakit ini,” katanya.

Sementara itu, mengenai pemilihan Bell Ngasri sebagai peneraju utama teaternya, Janna berkata, dia sudah bertanyakan terlebih dulu mengenai soal bayaran sebelum personaliti terbabit memenangi anugerah bintang popular baru-baru ini.

Katanya, Bell atau nama asal Nasrizal Ngasri kemudian mengotakan janji untuk tidak “menaikkan harga bayaran.”

“Saya ada menyatakan hasrat kepada Bell untuk ambil dia berlakon. Saya beritahu, jika dia menang anugerah, janji untuk tak menaikkan harga. Saya lock Bell (persetujuan) lepas dia menang.

“Dan Bell jawab: untuk Janna boleh, tapi saya tak tahulah macam mana bayaran dia dengan orang lain lepas ini,” ujarnya berseloroh.