Skip to main
Logo Malaysiakini

Aina Abdul teringin bertanding di AGT macam Putri Ariani

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kagum dengan fenomena dicipta penyanyi bermasalah penglihatan dari Indonesia, Putri Ariani, Aina Abdul meluahkan hasrat untuk menyertai pertandingan pencarian bakat terkemuka dunia, America’s Got Talent (AGT).

Kata Aina, dia adalah antara peminat Putri Ariani malah mendedikasikan sokongannya buat bakat muda yang sedang bersaing dalam AGT musim ke-18.

“Saya benar-benar berharap dia menang AGT.

“Kemenangannya itu nanti mungkin akan membuatkan dia gadis berhijab pertama menggondol gelaran juara,” katanya.

Menurut penyanyi Sumpah itu, dia juga pernah diundang untuk menyertai pertandingan seumpama itu pada 2014 namun terpaksa menolak kerana terikat dengan urusan lain.

Kata Aina, 29, hasrat berkenaan kini kembali berputik selepas menyaksikan Putri Ariani memukau juri AGT 2023 khususnya Simon Cowell.

Justeru, pemilik nama penuh Nurul Aina Abdul Ghani itu berharap agar hasratnya itu boleh menjadi kenyataan suatu hari nanti.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman konsert Aina Abdul 3.0 di sebuah di Kuala Lumpur semalam.

Pada majlis itu dia turut menghiburkan ratusan peminat yang berkumpul di pekarangan bangunan kompleks beli-belah tersebut dengan mendendangkan tiga lagu.

Lebih baik sendiri

Konsert Aina Abdul 3.0 itu dianjur bersama Yayasan Prihatin bakal berlangsung di mulai jam 8 malam di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 18 Nov nanti.

Putri Ariani, 17, adalah penerima buzzer emas daripada Cowell selepas memberikan persembahan menakjubkan dalam program realiti berkenaan.

Ia melayakkan Putri Ariani mara terus ke pusingan separuh akhir AGT 18.

Baru-baru ini, dia melayakkan dirinya ke pusingan akhir AGT selepas mendendangkan lagu popular U2, Still Haven’t Found What I’M Looking For.

Mengulas kehidupan peribadinya, Aina, 29, berkata dia belum bersedia mempunyai hubungan cinta kerana bimbang tidak dapat memberikan komitmen 100 peratus.

“Sebenar nak jawab soalan itu susah. Saya terbuka untuk berkawan dengan sesiapa saja, cuma untuk ke fasa perkahwinan belum lagi sebab terlalu sibuk dengan urusan kerja.

“Saya masih nak adakan konsert misalnya jelajah album, jadi nak buat semua itu sukar kalau menjalin hubungan dengan seseorang.

“Saya takut tak boleh beri komitmen yang terbaik jadi lebih baik bersendirian buat masa sekarang,” katanya yang turut menafikan mempunyai teman istimewa.

Aina mengakui dia juga mungkin agak memilih dalam soal jodoh kerana sukar mencari seseorang yang sepadan dan boleh menerima dirinya.

“Nak cari seseorang yang sepadan memang susah. Aina Abdul macam lapisan bawang. Saya suka benda yang orang lain tak suka.

“Kamu fikir kamu kenal saya tapi sebenarnya tidak. Jadi, ambil masa nak mencari seseorang yang sesuai,” katanya.