Skip to main
Logo Malaysiakini

Air mata Lah Ahmad tumpah terkenang Mak Tok

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penyanyi Lah Ahmad menumpahkan air mata sebaik mengenangkan arwah neneknya, Meriam Ahmad yang menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua pada usia 102 tahun pagi semalam.

Kata anggota kumpulan VE itu, dia berasa lega kerana dapat berbakti hingga kali terakhir buat insan yang menjaganya sejak kecil dengan menguruskan pengebumian hingga mengimamkan solat jenazah Mak Toknya itu.

“Mak Tok menjaga saya dari usia tiga tahun sampai ke dewasa selepas ayah meninggal dunia. Dia tinggal dengan mak. Jadi, kami adik-beradik selalu pergi ke rumah mak untuk melawatnya.

“Saya juga kerap ke sana kerana ambil tanggungjawab sebagai seorang lelaki sekiranya mereka memerlukan. Kali terakhir bertemu dengannya adalah malam sebelum arwah meninggal dunia.

“Mak Tok tak menghidapi apa-apa penyakit, apabila berpeluang dapat hidup hingga berusia 102 tahun itu satu bonus buatnya dan juga kami," katanya.

Menurut pemilik nama penuh Ahmad Abdullah itu, dia sekeluarga berasa kehilangan insan paling penting disebabkan Allahyarham satu-satunya orang tua yang terakhir dalam keluarga.

Arwah Mak Tok juga, jelas Lah merupakan insan yang sering mengingatkannya untuk menjadi seorang manusia yang baik.

“Dia tak boleh digantikan dengan sesiapa pun. Kerana Mak Toklah yang banyak mendidik antaranya cara mengaji surah Al-Insyirah, jangan tinggalkan solat serta menjaga tertib dalam solat.

“Tak pernah sekalipun dia marah walaupun melihat saya pakai seluar jeans koyak-koyak. Dia terus buang tanpa menegur.

“Dia juga selalu nasihatkan untuk pilih pakaian yang sopan dan kerap mengingatkan agar menjaga ukhuwah sesama keluarga,” katanya lagi.

Lah ditemui pada sidang media pengumuman Konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Konsert itu dijadual berlangsung di Istana Budaya pada 7 Oktober ini.

Petanda pelik

Dalam pada itu, Lah, 43, berkata keluarganya sudah bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan melihatkan keadaan neneknya yang semakin lemah.

Menurut penyanyi Bila Rindu itu, kebelakangan ini arwah menunjukkan beberapa petanda pelik dan ia seakan-akan memberi bayangan dia akan meninggalkan mereka.

“Kami reda malah kami keluarga juga sudah bersedia sekiranya Mak Tok dijemput Ilahi pada bila-bila masa.

“Saya sendiri, kalau nak keluar pun sentiasa beringat untuk berpakaian sopan dan bukan baju melambangkan band Metallica misalnya kerana bimbang dapat berita buruk.

“Saya memang dah lama berniat nak mengimamkan solat jenazah Mak Tok,” katanya.

Sementara itu, mengenai Konsert Jatuh Cinta, Lah berkata, dia bakal menyajikan lebih 20 lagu pada malam itu yang diiringi Orkestra Simfoni Universiti Malaya.

Lah mengakui dia cukup teruja dapat bersama Rubbertapper Production House dan bertemu peminat di gelanggang gah Istana Budaya untuk menghiburkan peminat dengan deretan lagu sendiri dan lagu saduran popular.

“Awal tahun lalu saya pernah tampil dengan konsert solo namun kali ini ruang kapasitinya lebih besar.

“Jadi saya harap dapat memenuhi permintaan peminat yang memberikan sepenuh sokongan sepanjang karier,” katanya.