Skip to main
Logo Malaysiakini

Achey pula nak bantu penunggang p-hailing

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pelawak Achey meluahkan hasratnya ingin membantu seorang penunggang p-hailing membiayai kos menuntut motosikal yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan semalam.

Kata Achey, dia enggan bapa anak dua dari Sungai Pelek itu menggunakan wang sendiri untuk berbuat demikian.

“Berkenaan abang (Food) Panda yang motornya disita, saya sudah hubungi dia dan namanya Syahrul, umur 26 tahun.

“Saya ada cakap dekat dia, kalau ada apa-apa untuk kos nak ambil balik motor itu, nak buat balik apa semua, jangan sampai keluar duit sendiri, Insya-Allah saya sudi membantu,” katanya di media sosial.

Terdahulu, kisah Muhammad Shahrul Shah dari Sungai Pelek tular di media sosial kerana didakwa terpaksa berjalan untuk menyerahkan pesanan yang dikendalikannya selepas motosikal dia disita dalam satu sekatan jalan raya.

Sesetengah netizen bersimpati dengan lelaki terbabit sehingga mendorong seorang pempengaruh media sosial Aisar Khaled menghadiahkan sebuah motosikal baru serta menghulurkan bantuan kewangan.

Tambah Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, dia dimaklumkan individu terbabit sudah menerima hadiah sebuah motosikal.

Achey, 37, juga memuji sikap pemandu p-hailing itu yang disifatkannya seorang yang merendah diri apabila mengakui kesilapan sendiri.

“Alhamdulillah dia dapat sebiji motor daripada Aisar Khaled. Terima kasih. Dia pun beritahu tak nak keluarkan apa-apa kenyataan sebab sedar itu memang salah dia. Bagus budaknya, lembut.

“Katanya, memang salah sendiri sebab cukai jalan mati, cover rantai tak ada serta cermin pandang sisi belah kiri tiada.

“Menurutnya, itu antara sebab mengapa motornya disita JPJ dan dia akan ambil di Senawang,” katanya.