Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Melayan edan zaman penyair merapu

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

ULASAN SENI | Presiden Persatuan Penulis Nasional (Pena), Saleeh Rahamad, memaklumkan tentang Pertemuan Penyair Nusantara XII Kuala Lumpur pada 13 hingga 15 Okt ini beberapa hari lalu.

Saya menjawab pesanan mesej WhatsApp itu: "Malang, aku uzur. Tak boleh aktif sastera."

Dia membalas: "Hantar sajak pun OK." Kemudian saya membalas semula dengan emoji imej air menitis dari mata kiri.

Sepatutnya saya tidak menolak ajakan daripada teman sejak 1986 itu, apatah lagi Saleeh bersama pengkritik dan pengkaji sastera, Mohamad Shahidan dan Hanafi Ibrahim, adalah antara rakan yang hadir pada malam pengebumian arwah isteri saya pada 28 Ogos lalu.

Saya menolak ajakan hadir ke majlis sastera kerana faktor kesihatan selain pandangan berbeza tentang kesusasteraan, khususnya kepenyairan mutakhir ini.

Kali terakhir saya hadir di majlis sastera ialah pada 2015 di Rumah Pena apabila Sasterawan Negara Prof Muhammad Haji Salleh melancarkan kumpulan sajak saya, Kita Membawa Khabar.

Pada 7 hingga 9 Sept lalu berlangsung Konvensyen Pemuisi Sedunia (Konpes)Kedua di Bachok, Kelantan membabitkan penulis pelbagai negara. Ramai yang hadir, namun kita menanti sejauh mana hasilnya untuk memartabatkan sastera negara.

Syabas Radzuan Ibrahim atau Wanrazuhar sebagai Presiden Pemuisi yang menggerakkan majlis berkenaan.

Tanpa arah tuju

Kini saya tidak lagi hadir di mana-mana majlis sastera kerana perasaan marah apabila penulis sajak tidak pernah mendapat penghargaan setimpal. Dua tahun lalu saya ialah salah seorang penerima Anugerah Sastera Kelantan.

Saya tidak hadir alasan masalah kesihatan. Puluhan tahun lalu saya menerima Hadiah Sastera Perdana dan pelbagai hadiah lain untuk sajak dan cerpen. Ada majlis yang saya hadir dan banyak program yang tidak saya sertai.

Apabila pengkritik sastera, Mana Sikana, bersuara tentang "sajak merapu, di mana silapnya" saya lebih cenderung untuk mengatakan bukan saja sajak merapu, bahkan sastera Malaysia juga terpalit dan tanpa arah tuju.

A Samad Said

Selepas A Samad Said dan Shahnon Ahmad meletakkan penanda aras yang tinggi menerusi novel Hujan Pagi, Salina, Daerah Zeni, Ranjau Sepanjang Jalan, Sutan Baginda dan Sampah, tidak banyak novel yang bermutu lahir kecuali dari tangan Anwar Ridhwan, Baharuddin Kahar dan S Othman Kelantan.

A Latiff Mohidin berjaya melahirkan sajak-sajak surealis bermutu tinggi dan mampu menyaingi karya Baha Zain dan Muhammad Haji Salleh. Sehingga kini karya itu tidak membawa tuah untuk Latiff dinobatkan sebagai Sasterawan Negara.

Kenapa? Di sinilah timbulnya istilah merapu dalam kesusasteraan Malaysia apabila penyair lain - yang kualiti karyanya jauh lebih rendah - sudah dinobatkan anugerah berprestij itu sedangkan Latiff masih seperti itu juga.

Adakah Latiff tidak aktif lagi atau dia terus menulis sajak namun menyepi kerana tidak sanggup berada dalam bidang yang kini amat merapu ini?

Karya mentah

Kita tahu lukisannya mendapat pengiktirafan dunia dengan pulangan lumayan. Latiff yang seni tentunya kekal dengan dunia kesenimanannya. Mustahil dia gagal melahirkan sajak sehebat Pesisir Waktu, Wayang Pak Dalang dan Songsang yang mendapat penghargaan sejak puluhan tahun lampau.

Tragedi sama berlaku terhadap T Alias Taib dan Rahimidin Zahari yang dinafikan menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (Sea Write Award) walaupun karya mereka lebih mantap berbanding pemenang yang mewakili Malaysia ketika itu.

Apabila mereka meninggal dunia, masyarakat mula melihat betapa merapunya sastera Malaysia akibat sistem kabilah dan kasta yang kurang diperhatikan.

Mana Sikana menyalah media sosial dan inisiatif terbit karya sendiri punca lahirnya sajak merapu. Penyair bertindak sebagai penulis, penyunting, editor dan sekali gus penerbit.

Latiff Mohidin

Maka lahirlah sajak-sajak separuh masak. Pembaca pula terpaksa menerima karya mentah itu sebagai hasil seni.

Apabila karya merapu menjadi bacaan umum, kita bimbang kemerapuan itu akan meresap ke dalam minda masyarakat yang sudah berdepan dengan situasi politik, sosial dan ekonomi yang juga merapu ini.

Karya merapu akan menambahkan serabut akal fikir masyarakat madani.

Karya seni tidak lahir daripada pemikiran serabut dan gopoh. Karya perlu dimurnikan sebelum menjadi bacaan umum. Namun kehadiran media sosial membolehkan penulis menjadi penerbit segera untuk menyebarkan karya merapu kepada orang ramai.

Bagaimanapun sebenarnya kemerapuan ini sudah lama membiak apabila banyak karya yang bagus tidak diterbitkan oleh birokrat seni atas alasan jahil. Lebih malang apabila penulis yang mahu memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) terpaksa memilih karya sendiri untuk dihantar kepada urusetia pertandingan.

Hal ini berbeza dengan dulu apabila ada panel khas mengutip dan mengesan karya yang tersiar di media dan buku untuk dinilai sebelum dinobatkan sebagai pemenang.

Penyangak menjadi pemikir

Saya setuju dengan Mana Sikana bahawa aspek puisi ialah pemikiran, struktur, bahasa, amanat, nada dan sikap pengarang.

Aristotle meletakkan perkara yang perlu difikirkan terlebih dahulu ialah: apakah pemikiran karya itu? Dalam konteks sekarang, ia boleh digantikan dengan perkataan tema.

Pemikiran menggambarkan kognitif pengarang dan kesedarannya terhadap sesuatu gejala dan cuba membahaskannya. Dengan pemikiran itulah yang akan dimantapkannya dari sebuah sajak kepada sajak yang lain, sehingga terlihat ideologi dan idealisme pengarang.

Bagaimanapun penyair Malaysia memang terkenal merapu sejak dulu.

Mereka menulis dan memekak membaca sajak tanpa bayaran. Lebih fatal, mereka hadir ke majlis baca sajak dan acara sastera menggunakan duit poket sendiri atas alasan kepuasan seni.

Sejak dulu tidak ada bayaran khusus untuk membaca sajak. Sasterawan Negara mungkin ada peruntukan sebagai nilai tambah kehadiran mereka di sesuatu majlis.

T Alias Taib

Penyair marhaen hanya hadir ke majlis dengan harapan dipanggil ke pentas untuk turut membaca sajak dan disudahi dengan ucapan terima kasih.

Mereka mungkin berpuas hati dengan sesi swafoto bersama teman senasib. Mereka akan bangga mendapat pujian daripada rakan seangkatan yang memeriahkan pentas sajak.

Kemudian mereka berlalu dengan putus asa di pedalaman peribadi.

Malaysia sudah 65 tahun merdeka. Seniman lain yang aktif sebagai pelakon, pelawak, penyanyi, pemuzik dan pelukis sudah menikmati laba kehidupan setimpal.

Sasterawan Malaysia terutama penulis sajak masih mencari harga diri dan nilai seni sehingga terlupa bahawa ganjaran buat mereka sesungguhnya hampir tidak ada.

Jika Mana Sikana menulis tentang sajak mutakhir yang merapu, biarlah saya tambah: sastera Malaysia memang merapu kerana penyangak menjadi pemikir dan penggerak sastera kita!