Skip to main
Logo Malaysiakini

Usop geram stesen radio tak cakna rosakkan muzik Malaysia

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penyanyi Usop tidak berpuas hati apabila segelintir stesen penyiaran terlalu mudah membuka ruang kepada pempengaruh media sosial yang tidak berbakat untuk meneroka peluang dalam industri muzik tanah air.

Kata Usop, hal itu begitu ketara terutama apabila lagu-lagu yang merepek dan menjadi sohor kini di platform media sosial dengan mudah diputarkan di stesen-stesen berkenaan.

“Saya geram… Apabila lagu yang tular di TikTok atau platform media sosial yang seumpamanya, ia kemudian dimainkan di saluran radio.

“Saya bukan nak kutuk seorang pempengaruh ini, tapi kenapa nak mainkan lagu merepek nyanyiannya? Lagu apa itu? Ini nak rosakkan industri muzik Malaysiakah?

“Zaman dulu, nak jadi penyanyi sangat susah. Kena hasilkan lagu yang sedap dulu baru layak bergelar penyanyi,” ujar naib juara Mentor 2017 dan Big Stage 2020 itu.

Turut menambah rasa terkilannya, Usop atau nama asalnya Muhammad Saiful Naim Muhammad Noor berkata, hal itu amat berbeza jika hendak dibandingkan dengan situasinya ketika ingin menceburkan diri sebagai penyanyi dulu.

Menurut Usop, 25, dia terpaksa berusaha dari bawah sebelum berpeluang mencipta nama, justeru, umum boleh membuat penilaian bakat terutama mereka yang telah melalui proses tapisan daripada juri profesional.

“Artis zaman sekarang memang perlu bersaing dengan pempengaruh media sosial misalnya TikTokers, YouTubers serta Instafamous.

“Sebelum ini, penyanyi yang masuk program realiti televisyen (TV) sangat susah nak jadi artis. Tapi, sekarang, saya lihat ia begitu senang.

“Sedangkan orang macam saya yang muncul dari program realiti TV perlu hadiri uji bakat dari jam 6 pagi hari ini sampai ke jam 2 pagi esok. Penat boh… sebab itu saya rasa tidak adil.

“Kami berpengalaman membuat persembahan atas pentas secara langsung, jadi orang boleh bandingkan bakat dari sudut itu,” katanya.

Usop berkata demikian pada majlis tayangan perdana filem sulung lakonannya, Mat Kola di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.

Mat Kola bakal ditayangkan di 65 pawagam seluruh tanah air bermula 21 September ini.

Bagaimanapun, Usop mengakui tidak tergugat dengan kehadiran mana-mana kehadiran pempengaruh media sosial.

Cuma katanya, wajar diwujudkan lebih banyak platform yang bersedia untuk menghimpunkan dan menggilap lebih banyak bakat baru melalui juri profesional.

“Industri muzik tanah air perlu sediakan platform begini agar mereka yang bergelar pempengaruh media sosial pun boleh bertanding.

“Ini baru betul. Yang berbakat baru boleh jadi penyanyi,” katanya.

Sementara itu, mengulas pembabitannya dalam Mat Kola, Usop berkata, dia terbuka sekiranya ada penonton mengkritik mutu lakonan yang dipersembahkannya.

Dia juga berharap, filem mendapat arahan Hafiz Nafiah itu boleh menjadi penanda aras buatnya terus berkecimpung dalam industri perfileman negara.

“Bukan senang dari penyanyi nak bergelar pelakon pula. Jadi saya terima jika ada pihak tak berpuas hati dengan persembahan saya. Masih ada ruang untuk perbaiki kelemahan,” katanya.