Skip to main
Logo Malaysiakini

Dana RM12 juta untuk lonjak ekosistem muzik tempatan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Kumpulan MyCreative Ventures (MyCreative) bakal menawarkan Dana Kandungan Digital (DKD) Industri Muzik 2023 pusingan kedua kepada penggiat muzik tempatan.

Menurut kenyataan KKD, dana berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM12 juta bagi tiga kategori, dengan peluang bantuan dana mencecah nilai RM300,000.

Kata kementerian itu, DKD Industri Muzik pusingan pertama - bernilai RM10 juta - sudah diluluskan pada awal tahun ini dan diagihkan kepada 43 penerima.

“Dana pusingan kedua ini bakal memberikan sokongan kepada lebih ramai penggiat muzik melalui tiga kategori utama, iaitu Dana Persembahan Muzik 2.0, Dana Kebolehpasaran Domestik 2.0 dan Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa 2.0,” katanya.

Menurut KKD, selain membangunkan modal insan yang kompetitif, DKD itu juga dapat mewujudkan industri muzik berdaya saing untuk menghasilkan impak ekonomi yang positif.

Katanya, penerima akan dipilih berdasarkan merit dan kebolehlaksanaan permohonan, selain kebolehpasaran yang mampu mengembangkan ekosistem muzik negara.

“Sejak diperkenalkan pada 2022, DKD Industri Muzik bawah seliaan MyCreative membantu lebih 1,500 tenaga kerja tempatan dalam pelbagai bidang untuk bangkit semula mendepani pascapandemik dengan peruntukan dana yang hingga kini berjumlah RM13 juta.

“Program ini merupakan antara inisiatif yang menjadi penggerak utama industri kreatif serta menyumbang kepada ekonomi negara secara mampan,” kata KKD.

Permohonan DKD Industri Muzik 2023 pusingan kedua akan dibuka bermula 22 Sept ini.

Bagi kategori Dana Persembahan Muzik 2.0 dan Dana Kebolehpasaran Domestik 2.0, tempoh permohonan akan berakhir pada 6 Nov manakala Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa 2.0 dibuka sepanjang tahun.