Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada sebab bayar Mondy untuk menipu, kata Caprice

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penyanyi rap, Caprice, berkata dia berada bersama polis selama enam jam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam semalam bagi memberi keterangan kepada pihak berkasa.

Menurut Caprice, dia memberi keterangan berdasarkan dakwaan gangguan seksual ke atas pempengaruh media sosial dari Indonesia, Mondy Tatto, yang tular melalui kandungan podcast kendaliannya.

Katanya dia ke IPK Selangor bersama Mondy, selain empat pekerjanya yang turut dipanggil untuk membantu siasatan.

“Ketika kita bercakap hari ini juga, ada kakitangan saya yang sedang beri keterangan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran makanan tambahan lelaki, ThorX, di di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 18 Sept lalu Ebit Lew membuat laporan polis mendakwa dia difitnah melalui kenyataan dibuat Mondy dalam saluran YouTube milik Caprice.

Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew memaklumkan laporan polis itu dibuat sebaik dia tiba dari Jeddah, Arab Saudi kira-kira 12 tengah malam.

Terdahulu pempengaruh dari Indonesia itu mendakwa dia menjadi mangsa gangguan seksual seorang pendakwah ketika kali pertama dia tiba di Malaysia tahun ini.

Menurut Caprice, 35, selain membuat laporan polis dan menghantar Mondy menjalani ujian psikiatri profesional, pihaknya turut meminta pempengaruh itu menandatangani perjanjian yang mengesahkan semua dakwaan berhubung gangguan seksual dikongsikannya adalah benar.

Justeru, kata penyanyi Dem Girls itu, tiada sebab dia perlu membayar Mondy untuk mereka-reka sebarang tuduhan bagi menjatuhkan mana-mana pihak.

“Kami memang tak nak bagi ruang kepada mana-mana pihak untuk mengatakan kami menipu.

"Kalau saya nak reka, takkan saya nak rakam senyap-senyap lebih baik saya suruh dia berlakon depan kamera saja," katanya.

Tambah Caprice memang biasanya orang akan lebih mudah percaya kepada sebarang dakwaan dibuat individu yang kelihatan alim atau warak berbanding seperti Mondy.

“Mondy wanita bertatu dan dalam kasta paling rendah di Indonesia, jadi buat apa saya nak seksa (susahkan) diri, sampai tak ada masa dengan keluarga semata-mata nak bantu orang berkasta rendah,” katanya.