Skip to main
Logo Malaysiakini

Caprice dakwa dapat ugutan lepas bantu Mondy

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penyanyi rap Caprice mendakwa menerima pelbagai ugutan selepas dia cuba ‘membantu’ Mondy Tatto yang mengaku menjadi mangsa gangguan seksual.

Hal itu berlaku, katanya, selepas video temu bual dia bersama Mondy - berjudul The Mondy Tatto Interview - tular di media sosial.

“Sebenarnya saya ada terima ugutan,” katanya.

Bagaimanapun, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli berkata, faktor keselamatan diri sendiri bukanlah sesuatu yang dirisaukan ketika ini sebaliknya kesan ke atas keluarga pempengaruh dari Indonesia itu.

Justeru kata Caprice, 35, buat masa ini Mondy buat perlu tinggal di Malaysia demi keselamatan wanita terbabit.

Tambahnya, dia juga menawarkan bantuan untuk membawa suami dan anak Mondy ke negara ini, bagaimanapun ia ditolak.

“Saya diberitahu suaminya yang berada di Jakarta dibelasah sekumpulan lelaki tak dikenali.

“Namun, Mondy percaya mereka lebih selamat bersama keluarga di sana,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk makanan sampingan, ThorX, di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, kisah Mondy yang disantuni individu berpengaruh dan terkenal, Ebit Lew, ketika berkunjungan ke republik itu tular di media sosial.

Ramai orang memuji usaha individu terbabit terutama apabila dia dilihat cuba mengubah cara hidup ibu tunggal berkenaan untuk mendekati Islam.

Hari ini, polis Selangor memberitahu mereka sudah mengambil keterangan daripada Caprice dan Mondy bagi membantu siasatan susulan laporan yang dibuat Ebit Lew.

Ebit Lew atau Ebit Irawan Ibrahim Lew mendakwa dirinya difitnah melalui program kendalian Caprice itu.

Menurut Caprice, bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku ke atas Mondy, dia menyediakan pengawal peribadi buat masa ini.

“Pengawal peribadi wanita itu ditugaskan menjaga Mondy 24 jam sehari.

“Selagi kes ini belum selesai, lebih baik Mondy jangan balik dulu ke sana (Indonesia),” katanya.

Caprice pada masa sama turut memohon semua pihak tidak sewenang-wenangnya mengecam sebelah pihak tanpa usul periksa terutama apabila melihatkan Mondy yang bertatu.

“Saya berharap bukan kes Mondy saja tapi semua kes membabitkan gangguan seksual; cubalah dengar daripada pihak mangsa. Jangan kecam tanpa usul periksa," katanya.