Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak ada keturunan kami pernah jejak tempat judi, kata ibu Neelofa

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Geram dengan tindakan segelintir pihak menuduh salah seorang anaknya berjudi, Noor Kartini berkata dia perlu tampil bersuara untuk membersihkan nama keluarga.

Kata ibu Neelofa itu, Ameera Khan cuma menghadiri majlis mempromosi sebuah beg tangan jenama terkenal antarabangsa, bukannya menghadiri acara lumba kuda.

“Mereka (warganet) sepatutnya faham majlis pelancaran beg itu dengan aktiviti perjudian adalah dua perkara berbeza,” katanya.

Noor Kartini juga berkata tuduhan semberono ke atas Ameera itu menyebabkan dia gagal menahan diri untuk membuka mulut untuk membetulkan salah faham yang timbul.

Tambahan pula, katanya, Ameera adalah anak yang masih berada bawah jagaannya, justeru dia perlu berbuat sesuatu dengan segera.

“Sebab ada pihak membuat tuduhan melulu,” tegasnya.

Noor Kartini berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran tudung Naelofar X Disney di sebuah kompleks beli-belah di Putrajaya hari ini.

Pada 11 Sept lalu, Ameera mencetuskan polemik di media sosial apabila memuat naik imej dia berada di sebuah tempat yang dipercayai sinonim dengan acara perlumbaan kuda atau perjudian sewaktu di luar negara.

Terpulang nak fikir apa

Posting Ameera itu sekali gus mengakibatkan segelintir pihak menuduh dia hadir ke lokasi terbabit adalah untuk berjudi.

Di Instagram, Noor Kartini kemudian menyelar pihak yang menuduh anaknya berjudi sebagai biadab.

Bagaimanapun, pada acara hari ini, Noor Kartini mengakui dia mengambil keputusan untuk memadamkan posting tersebut kerana beranggapan segala salah faham sudah diperjelaskan.

Katanya, dia berbuat demikian kerana enggan memanjangkan isu berkenaan.

Pada masa sama, Noor Kartini bersyukur kerana mendakwa tiada dalam keturunannya yang pernah menjejakkan kaki ke tempat-tempat haram.

“Saya hanya nak beritahu pihak yang menuduh-nuduh itu bahawa mereka salah.

“Alhamdulillah tiada siapa yang pernah nampak anak saya di kelab, tempat perjudian, minum arak, hisap rokok, dan saya bangga kerana itu.

“Alhamdulillah Allah memelihara. Tiada dalam keturunan kami yang pergi ke tempat perjudian dan buat seperti yang didakwa malah kami tak pernah jejak kaki pun ke tempat perjudian,” katanya.

Ameera, 22, yang ditemui pada majlis sama hanya memberi komen ringkas mengenai isu yang terpalit pada dirinya.

Katanya, terpulang kepada pihak umum untuk memikirkan apa yang mereka mahu kerana apa juga kandungan dimuat naik di akaun media sosial adalah haknya.

“Fikirlah apa yang kamu nak fikir. Tugas saya hanyalah berkongsi (kandungan media sosial),” katanya.