Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Cadangan penambahbaikan buat RTM

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KOMENTAR | Setelah sekian lama menanti akhirnya pada 21 Sept lalu RTM telah mengumumkan keputusan perolehan rancangan swasta yang sekian lama dinantikan. Syabas dan tahniah kepada 50 buah syarikat yang terpilih dan terima kasih RTM.

Kepada syarikat yang tidak terpilih, jangan berputus asa kerana masih boleh terus mencuba untuk perolehan yang akan datang.

Kami dimaklumkan perolehan kali ini agak lewat dilakukan kerana RTM sedang melalui proses tatakelola yang baru atas arahan Kementerian Kewangan.

Perolehan kali ini juga dilihat sangat sedikit iaitu kurang daripada 2 peratus dibandingkan tahun sebelumnya. Daripada 3,000 kertas cadangan disenarai pendek hanya 50 yang terpilih.

Lebih mendukacitakan apabila pengumuman keputusan agak lambat kerana RTM menerima terlalu banyak kertas cadangan dan proses penilaian mengambil masa lama untuk penelitian.

Persatuan Penerbit TV Malaysia (PTVM) membangkitkan perkara ini dalam pertemuan dengan pegawai Unit Kandungan Kreatif RTM bagi mengenal pasti isu kelewatan dan pengurangan jumlah perolehan.

Penjelasan RTM ialah, kelewatan syarikat penerbitan menyiapkan program yang dianugerahkan sejak 2020 hingga 2022 menyebabkan lambakan program berhadapan dengan isu penamatan dan lanjutan kontrak.

Ia menyebabkan limpahan program pada tahun ini sehingga dijangkakan hanya akan selesai pada 2025.

Ini menyebabkan peruntukan tahunan RTM terpaksa digunakan bagi membayar limpahan program terdahulu sekali gus mengurangkan peruntukan untuk pembelian kandungan baru.

PTVM memahami kekangan peruntukan RTM yang tidak ditambah menyebabkan mereka terbatas memberikan lebih peluang kepada syarikat penerbitan.

Tidak pernah kami berniat menyalahkan pegawai RTM dalam isu kelewatan atau kekurangan perolehan ini.

Sehubungan itu PTVM berharap Ketua Pengarah Penyiaran dapat memanjangkan isu ini untuk perhatian Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, untuk diambil tindakan sewajarnya.

Hal itu kerana majoriti syarikat penerbitan bergantung kepada perolehan rancangan di RTM.

PTVM berharap menteri terbabit boleh memohon peruntukan tambahan yang mencukupi daripada Kementerian Kewangan untuk membantu merangsang perkembangan industri kreatif.

Mengambil semangat untuk bersama RTM dalam memperbaiki sistem perolehan rancangan swasta, PTVM ingin memberi cadangan penambahbaikan seperti berikut.

1. Selari dengan penambahbaikan sistem perolehan RTM dengan penggredan syarikat pembekal, kami mencadangkan kawal selia syarikat pembekal dibuat secara sistematik bersama PTVM bagi memastikan hanya syarikat berpengalaman, berkemampuan dan mempunyai rekod yang baik diberikan peluang perolehan rancangan swasta.

Syarikat baru pula - untuk permulaan - hanya diberikan peluang membekal rancangan seperti telemovie.

Bagi mengatasi masalah kualiti program yang kurang memuaskan, syarikat pembekal diwajibkan untuk menghadiri bengkel yang akan diselanggarakan oleh PTVM, institusi pendidikan tinggi awam dan Finas.

2. RTM mengehadkan jumlah syarikat pembekal memandangkan sistem yang ada menyebabkan lambakan sehingga peluang perolehan menjadi kecil.

Ia juga menyebabkan banyak syarikat berasa hampa setelah mengeluarkan modal untuk menyediakan kertas cadangan tetapi gagal mendapat projek.

Bagi memastikan segala perubahan pada sistem perolehan ini berjalan lancar PTVM berharap perbincangan dapat dilakukan secara berkala demi menjadikan RTM stesen penyiar terbaik di Malaysia.

Untuk perolehan terdekat, PTVM mencadangkan agar RTM mengambil saja kertas cadangan yang lulus dengan markah yang baik - tapi tidak diangkat kali ini - untuk ditawarkan kerja.

Ini akan menjimatkan masa dan kos semua pihak.

RTM kena maklum, setiap kertas cadangan yang dihantar telah disediakan dengan tenaga, masa dan wang. Kalau satu kertas cadangan berharga RM100, maknanya 3,000 kertas cadangan yang dihantar dalu memakan belanja kira-kira RM300,000.

Tentulah setiap kertas cadangan akan lebih daripada RM100. Itu belum mengambil kira belanja untuk hadir sesi pitching dan kos menyediakan pitching day.

Ambil maklum juga penerbit-penerbit dari Sabah dan Sarawak yang datang memerlukan kos yang lebih besar.

Untuk RTM juga tentulah kos yang besar untuk menganjurkan proses pitching dan ia akan memakan masa.

Akhir sekali, PTVM berpendapat sudah sampai masanya RTM mengikuti langkah Finas yang menyenaraikan syarikat-syarikat berjaya memperolehi dana dan tajuk bagi Dana Kandungan Khas Finas kepada umum.

Dengan adanya senarai itu semua pemain industri boleh melihat dan menilai ketelusan yang berlangsung agar semua pihak berpuas hati.


JUREY LATIFF ROSLI ialah presiden Persatuan Penerbit TV Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.