Skip to main
Logo Malaysiakini

Syafie elak berdendam lepas pulih terkena 'buatan orang'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Walaupun pulih daripada terkena ‘buatan' orang, pelakon Syafie Naswip enggan menaruh dendam terhadap sesiapa pun yang pernah menganiaya dia.

Syafie berkata, dia mengambil sikap berlapang dada malah enggan terlalu memikirkan mengenai individu yang cuba mengganggu hidupnya dengan cara kotor itu kerana mungkin boleh memudaratkan kesihatan sendiri.

“Tak (bukan pendendam), sebab umur pun dah 31 tahun. Saya tak nak nanti tiba-tiba mati sebab sakit jantung (sebab berdendam) pula,” ujarnya.

Pemilik nama penuh Muhammad Syafie Naswip itu berkata, dia cuba berfikir secara rasional terutama apabila membabitkan batasan dalam pergaulannya.

Namun, pemenang anugerah pelakon pembantu lelaki terbaik melalui filem Songlap itu seboleh-bolehnya mahu lebih cermat menuturkan kata-kata agar tiada pihak yang tersinggung.

“Benda kalau nak jadi, jadi juga. Kalau buat baik sekali pun tetap boleh kena (sihir). Kalau tahu ada sesiapa yang berniat buruk dengan kita, jauhkan diri saja.

“Cara saya ialah atur dulu cara percakapan. Kita boleh cakap berterus-terang, tapi kena ingat, jangan sampai orang itu kecil hati selagi dia cakap dengan elok.

“Tapi pengecualian boleh dibuat sekiranya orang itu kurang ajar, kita pun kena 'bahasakan' dia balik supaya sedar,” katanya yang mendakwa mendapatkan pelbagai rawatan bagi menyembuhkan masalah kesihatannya.

Macam baca buku

Syafie ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaru lakonannya, Fanna, di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Filem aksi arahan Andy Weng Sum Liew itu memaparkan kisah gangsterisme. Skrip ditulis oleh Azlina Pa’wan.

Filem dengan klasifikasi P16 itu dijadual menjengah seluruh pawagam tanah air mulai 28 Sept ini.

Pada Jun lalu, Syafie - melalui Instagram - mendakwa dia menjadi mangsa sihir seseorang yang berniat melihatnya mati. Individu terbabit turut didakwa menceroboh halaman rumahnya.

Dia juga mendakwa menanggung derita sihir itu selama lapan bulan.

Kini Syafie ingin melupakan pengalaman hitam itu, malah dia memasang azam baru agar lebih bersemangat menempuh hidup.

Menurutnya, dia juga sedang berjinak-jinak dalam bidang penulisan skrip dan semakin bersemangat menceburi bidang baru tersebut.

“Belum bermula lagi, tapi doakan semoga saya dipermudahkan. Kalau boleh nak betul-betul serius. Saya tak kisah sama ada hasilkan skrip untuk drama atau filem,” katanya.

Enggan mengulas secara terperinci mengenai hal itu, Syafie hanya mendedahkan dia akan berguru dengan seseorang yang terkenal dalam industri bagi merealisasikan hajatnya.

Syafie berkata penulisan skrip disifatkan sesuai untuk dia yang banyak berimaginasi mengenai sesebuah karakter tetapi tidak dapat direalisasikan secara realiti.

“Sebagai pelakon, biasanya kita diberikan karakter-karakter yang bukan jangkaan. Entah bila pula nak diberi watak-watak yang kita tunggu. Jadi, apa salahnya kita tulis skrip.

“Mana tahu, mungkin suatu hari ada pihak berminat untuk membiayai.

“Ini saya anggap macam baca buku, dapat salurkan aura positif dalam diri,” katanya yang berminat menghasilkan genre kemanusiaan.