Skip to main
Logo Malaysiakini

Ruhil Amani rahsia penceraian demi anak-anak

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Demi tanggungjawab sebagai ibu, penyanyi Ruhil Amani terpaksa merahsiakan penceriaannya empat tahun lalu daripada umum kerana mahu melindungi kedua-dua anaknya.

Katanya, anaknya Ruhil Ariana Wilson, ketika itu bakal menduduki peperiksaan sementara Raayan Alexander Wilson, masih kecil.

“Sebelum ini saya mengambil keputusan untuk tidak memaklumkan pada kawan semua kerana sebagai seorang ibu, tanggungjawab dan keutamaan saya adalah untuk melindungi anak saya Ariana yang pada ketika itu berusia 15 tahun.

“Dia akan menduduki peperiksaan penting IGCSE (The International General Certificate of Secondary Education) dan anak saya Raayan berusia lebih kurang lapan tahun.

“Tumpuan saya adalah untuk memastikan mereka berdua dapat menyesuaikan diri dengan situasi kehidupan yang baru kerana perceraian buat sesiapa saja, tidak akan pernah adil buat anak-anak,” katanya.

Menurut penyanyi Kehilangan itu, dia juga terpaksa tampil menjelaskan perkara sebenar selepas perihal rumah tangga mereka sering mengundang tanda tanya ramai.

“Memandangkan semakin ramai yang bertanya tentang situasi rumah tangga saya dan selepas berbincang dengan anak-anak kerana situasi ini melibatkan kehidupan mereka juga.

“Tujuan saya memberi kenyataan pada hari ini kerana untuk mengelakkan sebarang tanda tanya dan salah faham yang boleh menimbulkan fitnah,” katanya.

Ruhil mendirikan rumah tangga dengan Jamil pada 2003 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Ruhil Ariana Wilson, kini berusia 19 tahun dan Raayan Alexander Wilson, 12 tahun.

Bagaimanapun, Ruhil enggan mendedahkan punca sebenar penceraian dia dan bekas suaminya itu.

Bagi Ruhil yang juga penyanyi Aku, Mereka dan Teman itu, biarlah rahsia itu sekadar diketahui oleh keluarga dan kenalan terdekat saja.

“Punca penceraian tidak perlu saya nyatakan disini. Kalau boleh cukuplah sekadar keluarga, teman rapat dan mereka saja yang tahu, tahu puncanya.

“Lagipun, perkara ini sudah lama berlalu. Sudah takdir, setakat itu saja jodoh kami. Saya dan anak-anak redha dengan berat ujian Allah SWT,” katanya.