Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua kali gagal, kami silap taktik rupanya - Sharifah Shahora

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Silap strategi merupakan punca cadangan penerbit Sharifah Shahora dan suami, Raja Mukhriz Raja Ahmad gagal mendapat Dana Penerbitan Filem Kenegaraan yang ditawarkan kerajaan.

Justeru, kata Sharifah Shahora, apabila jalan cerita yang dikemukakan sebelum ini tidak berjaya menambat hati Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), mereka harus menukar strategi bagi mengelak berdepan kegagalan lagi.

“Dua kali gagal, kami silap taktik rupa-rupanya. Kami fikir mungkin jalan cerita yang dihantar untuk panel penilai Finas pada ketika itu lebih kurang saja dengan apa yang telah dihantar orang lain.

“Kebanyakan penerbit agaknya cenderung memilih tema naskhah berkisahkan sukan bola sepak dan berunsur Islamik.

“Sebaik dapat tahu permohonan diluluskan untuk Pagari Bulan, saya sampai tergolek-golek (kegembiraan) di rumah. Jadi, memang sesuailah taktik kami kerana jalan cerita filem itu lain daripada lain,” katanya kepada Malaysiakini.

Kongsi Raja Mukhriz, selepas berbincang secara mendalam bersama pemilik idea asal, Ellyna Ahmad, mereka memperoleh ilham untuk memartabatkan pemerkasaan wanita pada era penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu.

Katanya, ilham itu dikembangkan daripada naskhah asal filem pendeknya berjudul Pagari Bulan yang diterbitkan pada 2016 dan pernah meraih pengiktirafan pada Festival Filem Eurasia di Kazakhstan.

“Tema Comfort Woman atau wanita yang menjadi hamba seks tentera Jepun dipilih kerana ia unik dan setahu saya ia belum pernah lagi diangkat melalui filem-filem Melayu tempatan.

“Kami tak mahu naskhah itu sekadar memaparkan filem yang berkisahkan aksi peperangan semata-mata.

“Kami mahu ketengahkan bagaimana Comfort Woman ini juga menjadi sebahagian daripada pejuang ketika itu. Jadi, dari situlah terbit filem Pagari Bulan,” katanya.

Sharifah dan Raja Mukhriz ditemui pada majlis tayangan perdana filem berkenaan di sebuah kompleks beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur malam tadi.

Menggunakan latar belakang tahun 1941, Pagari Bulan berkisahkan seorang gadis bernama Bulan yang mempertaruhkan nyawa daripada kekejaman tentera Jepun yang cuba menjajah Kota Bharu, Kelantan.

Penduduk menjadi cemas apabila mereka tidak sempat menyusun langkah pertahanan yang teratur mengakibatkan ramai cedera dan dibunuh manakala anak gadis dijadikan sasaran dan dijadikan Comfort Woman.

Filem dihasilkan dengan kos RM3 juta itu dijadual menjengah pawagam pada 5 Oktober ini. Ia dijayakan barisan pelakon seperti Nazeera Sardi, Trisha Ooi, Aniq Durar, Alvin Wong, Putri Irin, Andy Teh, Azli Wan Jusoh, Azlan Komeng dan Michael Ang.

Sharifah Shahora berkata, pihaknya turut berdepan kesukaran untuk menyiapkan filem itu apabila mereka sukar mendapatkan maklumat melalui enjin carian berhubung wanita tempatan yang pernah diculik dan menjadi mangsa pemuas nafsu tentera Jepun.

“Di Filipina, Vietnam, China dan Korea, golongan ini bangkit dan perjuangkan hak-hak asasi mereka. Namun, ia berbeza apabila mangsa-mangsa di sini senyap.

“Perkara ini (Comfort Woman) dianggap sesuatu yang mengaibkan buat wanita tempatan,” katanya.

Ditanya mengenai risiko sekiranya Pagari Bulan kurang mendapat penonton kerana mengetengahkan tema patriotik, Raja Mukhriz berkata, dia yakin, filem berkenaan mempunyai potensi tersendiri kerana diketengahkan sebagai filem komersial.

Raja Mukhriz yang juga pengarah fotografi itu berkata, dia antaranya banyak menerapkan insipirasi sinematografi misalnya daripada filem Puteri Gunung Ledang dan Embun agar penonton tidak cepat berasa bosan.

“Saya tak rasa filem ini berisiko besar kurang dapat sambutan kerana kami tak jual ia sebagai art house sebaliknya sebagai filem komersial.

“Kami bukan semata-mata menerapkan elemen sejarah kerana pasti ia akan membosankan. Saya juga pengarah fotografi, jadi saya banyak ambil inspirasi daripada filem berkenaan untuk dijadikan kiblat bagi filem ini pada tahun 2023.

“Selain itu, saya juga seorang yang sangat teliti. Setiap masalah kesan visual (VFX) dan kesan bunyi ditangani sehabis baik. Ada lebih 200 VFX, selagi tak nampak seperti realistik, saya cuba perhalusi,” katanya.