Skip to main
Logo Malaysiakini

Altimet bela rakan artis mohon dana kerajaan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Komposer yang kini bergelar wakil rakyat, Altimet, menyifatkan tiada istilah pengemis bagi mana-mana anak seni yang meminta Dana Kandungan Digital (DKD) disediakan kerajaan.

Katanya, pelbagai dana ditawarkan oleh kerajaan layak dimohon oleh sesiapa saja asalkan mereka memenuhi syarat yang ditetapkan seperti berstatus warganegara Malaysia.

“Tidak bolehlah nak kata artis yang memohon DKD itu mengemis.

"Dalam hal ini, sebenarnya tiada unsur mengemis sebab kalau mereka yang memohon itu dikategorikan sebagai mengemis, apa pula status peladang, nelayan yang turut memohon dana?

“Cuma, mungkin ada orang (netizen) kurang senang kerana artis yang memohon itu popular.

“Tapi mereka kena lihat juga apa yang artis itu persembahkan, maksudnya adakah pemberian dana itu dapat membawa pulangan atau tidak dari segi kewangan mahupun impak kepada industri,” katanya dipetik Harian Metro.

Altimet, 44, berkata demikian sewaktu menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul di Galeri Nur Raudhah di Ampang, Selangor hari ini.

Baru-baru ini dua penyanyi wanita popular iaitu Aina Abdul dan Liza Hanim menerima kecaman hebat daripada netizen apabila dituduh 'mengemis' DKD untuk mengadakan konsert berskala besar tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad berkata, hal itu perlu diukur dari segenap sudut dan bukannya melalui ukuran kuantitatif semata-mata.

Sebaliknya, menurut penyanyi Kita Jaga Kita itu, faktor kualitatif dan kos secara keseluruhan juga perlu diambil kira.

“Contohnya konsert artis itu solo, dia mungkin tak berseorangan. Jadi, kena fikir juga pasukan yang membantu menguruskan penyanyi itu menjayakan konsert berkenaan.

“Semuanya kena difikirkan. Macam saya sendiri, konsert akhir saya yang dibuat pada 2019 beratus orang yang terbabit.

“Semua kru yang terbabit itu kena tahu kos dia macam mana. Lain orang lain kosnya, jadi terpulang pada artis yang ingin memohon dana berkenaan,” kata Adun Lembah Jaya itu.