Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Hal-hal janggal dalam Malbatt - Misi Bakara

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN FILEM | Setelah menonton dan melihat intisari filem Malbatt - Misi Bakara kami berpendapat teguh bahawa filem tersebut yang dikatakan “90 peratus factual” sebenarnya tidak sebegitu dari sudut ketulenannya.

Beberapa episod yang dipaparkan dalam filem ‘patriotik’ itu sebenarnya tidak benar-benar berlaku semasa misi Bakara. Antaranya ada episod yang bertaraf silap cerita, tidak kena-mengena dengan misi Bakara pada hakikatnya.

Malah ada yang boleh dianggap dongengan.

Sebagai mantan komander dan timbalan komander Malbatt 1, kami terkilan apabila ada episod yang memalukan kami. Berikut adalah ulasan kami mengenai beberapa episod dalam filem itu.

Pembukaan filem menayangkan senario yang menggemparkan apabila askar negara merempuh masuk ke dalam sebuah hotel untuk menyelamatkan sekumpulan wartawan yang berada dalam keadaan terdesak dan ketakutan.

Apatah lagi apabila melihat askar-askar Malaysia masuk dengan tembakan bertubi-tubi menentang kumpulan bersenjata pimpinan Jeneral Farah Aidid, ketua askar pemberontak militia di Somalia pada 1993.

Sebenarnya, tiada penembak hendap atau bom tangan dilemparkan, dan tiada askar negara yang tercampak keluar oleh ledakan perangkap samar atau letupan periuk api.

Malah tiada sesiapa pun tercedera.

Kami juga tidak sekali-kali mengguna jurubahasa Somali untuk berunding dengan pihak pemberontak. Babak itu sengaja ditayangkan untuk mewujudkan kesan lebih dramatik dan penonton berasa amat teruja.

Dicemari adegan rekaan

Salah satu peristiwa yang amat terkesan dalam filem itu ialah aksi pelakon Somali, Musa Aden, yang membawa peranan jurubahasa Malbatt bernama Abdelle.

Kesanggupannya membantu Malbatt dibayar dengan kematian isteri dan anaknya.

Penonton semestinya berasa sedih dan kesal atas pengorbanan Abdelle. Sebetulnya ketika misi sebenar Malbatt di Bakara itu pada 3 dan 4 Oktober 1993, tidak ada pun jurubahasa Somali ditumpangkan.

Watak Abdelle itu hanyalan fiksyen, iaitu yang diada-adakan saja menjadikan cerita lebih dramatik.

Justeru filem tersebut tidaklah “90 peratus factual” seperti misi sebenar Bakara itu. Amat mengecewakan kerana peristiwa itu tercemar dengan beberapa kisah rekaan.

Dalam filem itu juga, terdapat satu babak seorang wartawan wanita berkulit putih memasuki kem Malbatt dengan wajah kecewa kerana tidak dapat berjumpa dengan pegawai untuk ditemu ramah.

Dua askar juga dipaparkan juga menghampirinya untuk cuba menguratnya.

Apabila ada bunyi letupan dan tembakan terdengar, mereka merebahkan badan ke tanah dengan seorang daripada askar terbabit meletakkan tangannya ke bahu wanita muda berkenaan.

Kejadian itu tidak pernah berlaku.  Apakah maksud pengarah filem menayangkan adegan berkenaan?

Perlu diingat tiada mana-mana orang luar dibenarkan melawat atau masuk ke kawasan kem tentera tanpa izin atau di luar pengetahuan komander Malbatt. Ia merupakan peraturan ketat dalam suasana perang.

Anggota kami sentiasa menjaga disiplin yang tinggi agar tidak mencemar nama baik Malbatt 1m khususnya dan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya.

Apatah lagi jika bertugas sebagai pengaman di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Justeru tidak wajar bagi penerbit filem itu meremehkan perwatakan anggota ATM ketika menjalankan tanggungjawab sebagai pasukan pengaman.

Penonton tertanya-tanya

Semasa dalam pergerakan APC ke objektif Pasar Bakara, satu babak menunjukkan seorang pegawai tentera kami bersiul sebuah lagu Barat dan ia didengari askar-askar negara lain di dalam kenderaan tersebut.

Perangai sambil lewa dalam suasana perang yang serius adalah penggambaran (portrayal) yang tidak munasabah. Sekali lagi ia menggambarkan kononnya berlaku ketidaksempurnaan askar kami.

Dengan yang demikian ia memalukan akhlak kami.

Begitu juga babak seorang askar kami menyuruh sekumpulan tentera AS yang diselamatkan mengikutinya ke laluan selamat di kawasan Pasar Bakara atas alasan dia sudah biasa dan yakin tentang selok-belok kawasan berkenaan.

Peristiwa ini tidak berlaku kerana askar kami belum pernah ditugaskan meronda Pasar Bakara sebelumnya. Ini adalah kerana, semua askar di bawah PBB, Unosom II, tidak dibenarkan untuk masuk ke zon larangan atau kawasan Pasar Bakara.

Satu adegan yang ganjil dalam filem itu memaparkan seorang askar dalam APC Condor mencium dog tag (tanda pengenalan berantai yang dipakai mengikut peraturan ketenteraan).

Askar Malbatt semuanya dari Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Batalion Ke-19 (Mekanize). Tidak ada sebab seorang askar Muslim mencium dog tag untuk memperoleh keadaan selamat dalam perjuangan seakan-akan penganut Kristian mencium salibnya.

Dalam kes ini, mungkin penonton akan tertanya-tanya adakah ia perlakuan fasik?

Apakah itu dengan secara langsung dan senyap-senyap satu usaha untuk menerapkan budaya asing kedalam tentera kita?

Ini sama sekali bukan budaya ketenteraan apatah lagi RAMD. Ia suatu amalan yang amat pelik.

Satu lagi adegan yang menyentuh soal akhlak dan adab sopan tanpa mengira pangkat ditunjukkan semasa watak Kolonel Rahman (sebagai Komander Malbatt 1) dengan penuh emosi menengking pegawai operasinya.

“Apa yang kamu merepek ni?”

Pegawai terbabit menyatakan bahawa misi Bakara itu adalah suatu "operasi bunuh diri".

Fakta: Perkataan “satu operasi bunuh diri” tidak pernah diluahkan oleh pegawai Malbatt.

“Apa yang kamu merepek ni oii? Kamu tak percaya kepada anak buah kamu ke? Percayalah kepada anggota kita, dan kita tak ada pilihan. Arahan tetap arahan. Percayalah dan kita akan selesaikan misi ini!”

Bimbang orang terpengaruh

Pegawai dan semua peringkat Malbatt terdiri daripada golongan profesional yang cukup terlatih dan berdisiplin. Memang sudah menjadi sifat semula jadi mereka berakhlak tinggi, kuat kesetiakawanan - sehati sejiwa.

Sifat Kolonel Rahman sebegitu buruk bukanlah perwatakan asli Kolonel Abdul Latif (mantan Komander Malbatt 1 pada 1993 di Somalia itu) dan sehingga kini juga tidak begitu.

Antara jawatan yang pernah disandangnya dalam ATM ialah sebagai atase tentera di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura. Ia merupakan jawatan diplomatik yang mengutamakan adab yang tinggi.

Justeru, penonjolan watak sebagai pegawai yang mendera serta kasar menghinakan watak dan maruah beliau sebagai mantan Komander Malbatt.

Kenalan, rakan-rakan dan saudara-mara mantan Komander Malbatt 1 telah tertanya-tanya adakah itu benar-benar watak aslinya.

Dikhuatiri orang awam yang menonton filem berkenaan akan terpengaruh dengan apa yang mereka lihat layar putih dan menganggap Komander Malbatt 1 seorang yang sombong dan angkuh, walhal realiti adalah sebaliknya.

Begitu juga anggota pangkat lain dalam pasukan kami, tidak pernah berlaku sombong seperti ditayangkan menengking dan mencemuh askar AS dalam APC.

Berikutan daripada penamatan misi Malbatt yang berjaya menyelamatkan askar AS dari Pasar Bakara, mereka berkumpul di stadium yang diduduki tentera Pakistan.

Anehnya, pengarah filem menayangkan satu babak menunjukkan Komander Malbatt 1 bersama pegawai-pegawainya di markas taktikal ceria berjabat tangan antara satu sama lain atas kejayaan misi menyelamat.

Perkara ini tidak pernah berlaku.

Pasukan Malbatt 1 yang bertugas di Somalia pada 1993

Hakikat sebenar ialah sebaliknya. Kami - pegawai dan askar Malbatt 1 - berasa amat sedih dan terharu kerana mengalami satu kematian (Koperal Mat Aznan Awang) serta sembilan yang lain cedera.

Dalam kalangan anggota sahabat tentera AS dan Pakistan juga mengalami beberapa kematian dan kecederaan.

Terdapat juga satu adegan pada akhir filem memaparkan seorang anggota Malbatt yang cedera dan diusung masih sempat untuk berbalas kata-kata manis bersama wartawan wanita asing yang telah muncul di awal filem.

Adegan sebegitu tidak kena pada tempat dan boleh menjatuhkan integriti serta maruah anggota Malbatt sekali gus ATM secara keseluruhan. Suasana kepulangan anggota Malbatt 1 dari misi Bakara sepatutnya ditayangkan sebagai peristiwa yang penuh kesedihan, bukan kegembiraan, walaupun berjaya dalam perjuangan mereka.

Sekali lagi, kami ingin menekankan bahawa adegan-adegan yang dipaparkan di dalam filem itu tidaklah "90 peratus factual" seperti yang diumumkan.


BRIG JEN (B) ABDUL LATIF AHMAD ialah bekas komander Malbatt 1 Unosom II, manakala MAJ JEN (B) MOHD ROZI BAHAROM mantan timbalan komander Malbatt 1 Unosim II.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.