Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis AS tahan suspek dalang pembunuhan Tupac Shakur

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Polis Las Vegas pada menahan seorang lelaki yang dipercayai menjadi dalang dalam kes pembunuhan penyanyi rap AS, Tupac Shakur, pada 1996.

Duane "Keefe D" Davis, 60, ditahan pada pagi Jumaat (waktu AS) di luar rumahnya dan berhadapan satu pertuduhan membunuh, kata Timbalan Ketua Peguam Daerah Clark, Marc DiGiacomo, semasa sesi pendengaran kes itu.

United Press International (UPI) yang memetik Las Vegas Review-Journal melaporkan hakim daerah Clark, Jerry Wiese, memerintahkan Davis ditahan tanpa boleh diikat jamin.

Pegawai polis Las Vegas, Jason Johansson, pula berkata walaupun Davis tidak menarik picu pistol yang membunuh Shakur, dia bersama lelaki bersenjata terbabit dalam kenderaan.

"Saya mencirikan Duane Davis adalah pembuat keputusan dalam kumpulan itu yang melakukan jenayah ini dan mengatur rancangan untuk melakukan jenayah ini," kata Johansson semasa sidang akhbar.

The Review-Journal melaporkan penyiasat percaya anak saudara Davis, Orlando Anderson, yang meninggal dunia dalam satu lagi kes tembakan pada 1998, adalah orang yang menarik picu yang membunuh Shakur.

Dua lagi suspek dalam kes itu telah meninggal dunia, lapor CNN.

Polis berkata insiden pada 7 Sept 1996 itu tercetus akibat pertengkaran antara Shakur dan Anderson selepas menghadiri perlawanan tinju di antara Mike Tyson dan Bruce Seldon di MGM Grand.

Shakur, 25, meninggal dunia enam hari kemudian (13 Sept 1996).

- Bernama/UPI