Skip to main
Logo Malaysiakini

Dituduh promosi maksiat, Nadhir Nasar pertahan Malampagi

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pengarah video muzik Malampagi, Nadhir Nasar mempertahankan karya dihasilkannya walaupun kandungannya didakwa boleh merosakkan akhlak kerana mempromosikan maksiat.

Kata Nadhir yang juga pelakon itu, walaupun segelintir pihak berpendapat video muzik itu mungkin keterlaluan, dia sebagai pengarah hanya cuba memaparkan sesuatu yang menjadi realiti dalam kehidupan.

“Saya seorang yang berpegang pada prinsip. Prinsip saya adalah untuk menyampaikan mesej, jadi terpulang kepada penonton untuk menilai mana buruk dan baik.

“Mungkin orang akan kata ia keterlaluan, tapi itulah, manusia susah nak terima kebenaran,” katanya.

Tambah pelakon Projek High Council itu, mesej cuba diketengahkan dalam video muzik berkenaan adalah bagaimana pengalaman buruk boleh mengajar seseorang meninggalkan perkara tidak baik.

Malah katanya, video muzik itu juga diceritakan secara telus.

“Apa saya cuba ceritakan adalah realiti iaitu macam mana teruk pun seseorang, akhirnya dia akan kembali semula kepada Allah.

“Video muzik itu sangat straight forward, patutnya ia mudah difahami. Lagi pun, banyak stesen radio memutarkan lagu itu serta segelintir orang pula anggap ia lagu healing stail generasi Z.

“Jadi, saya tukar persepsi tersebut kepada lagu yang ada mesej yang boleh digunakan dalam kehidupan,” katanya.

Nadir ditemui pada majlis pratonton trailer drama Super Wira di TGV Cinema di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.

Baru-baru ini, terdapat pengguna media sosial yang mendakwa lirik dan video muzik Malampagi berunsur lucah disamping memaparkan nilai sosial negatif kepada generasi muda.

Malah, individu terbabit turut mempersoalkan kredibiliti pihak bertanggungjawab kerana lagu tersebut masih kerap diputarkan di radio.

Malampagi antaranya memaparkan kehidupan bebas generasi muda yang memilih untuk berfoya-foya dan bergelumang dengan maksiat.

Kontroversi sudah dijangka

Nadhir, 26, berkata, dia berada dalam industri bukannya untuk mengejar glamor apatah lagi jumlah pengikut yang ramai.

Justeru, menjadi tanggung jawabnya untuk menyeimbangkan antara mesej dan karya bermutu.

“Saya perlu berada di tahap tertentu kerana untuk hasilkan sesuatu naskhah itu sukar.

“Ada segelintir berpendapat harus hasilkan yang berkualiti seperti di Netflix manakala yang lain beranggapan tak baik mengikut ala kebaratan, tapi kalau kita tak ikut mereka, macam mana kita nak dapat kualiti yang setara,” katanya.

Nadhir juga memberitahu, sebelum mengarahkan video muzik tersebut, dia sebenarnya sudah menjangkakan kontroversi akan berlaku.

Namun, dia tidak kisah sekiranya video muzik tersebut diharamkan tiba-tiba selepas ia tular.

“Sukar untuk memuaskan hati semua pihak kerana masing-masing mempunyai selera berbeza.

“Tapi ini tak bermaksud saya seorang pengarah yang provokatif. Saya dah buat kerja saya itu saja.

“Saya bukan sukakan provokasi cuma saya suka benda yang realiti.

“Suka atau tidak kena terima. Kita lebih selesa hidup dalam penafian dan tidak selesa dengan kebenaran,” katanya.