Skip to main
Logo Malaysiakini

Ekin: Niat bantu peniaga kerana kedai tiada pelanggan tapi...

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Isteri pengarah dan pelakon Mawi, Ekin Rahmat menjelaskan niat asalnya cuma ingin membantu pemilik sebuah kedai makanan laut berniaga disebabkan kedai wanita itu dilihat tiada pelanggan.

Usahawan itu malah berkata, dia langsung tidak menjangka keprihatinan yang ditunjukkan akhirnya mengakibatkan timbul isu tidak diingini di kemudian hari.

“Pada awal, kami ingin makan di kedai sebelah, namun hajat tak kesampaian kerana makanan lautnya sudah habis.

“Sewaktu melintasi sebuah kedai lain, seorang makcik melambai-lambai dan memanggil kami untuk makan di kedainya. Kebetulan, kedai tersebut tiada pelanggan pada waktu itu.

“Disebabkan meletakkan kepercayaan sepenuhnya, makanan yang ditimbang pun kami tak tengok berapa beratnya sebab niat asal nak tolong dia berniaga,” katanya kepada Malaysiakini.


Baca: Pemilik restoran sangkal dakwaan Ekin caj makanan mahal


Ekin atau nama penuhnya Nora' Asikin Rahmat mengakui tidak berpuas hati terhadap resit dikeluarkan kerana ia didakwa berbeza daripada bil yang asal yang diterima sebelum ini.

Katanya, sekiranya peniaga itu benar-benar telus, wanita itu sepatutnya menjelaskan secara terperinci hidangan yang disediakan apabila diminta berbuat demikian.

“Saya dan Mawi amat keliru sewaktu terima resit. Kami ada meminta penjelasan tapi kemudian ia dijawab acuh tak acuh oleh pemilik kedai ketika itu. 

“Resit malam tadi yang dijelaskan pada klip video dimuat naik di media sosial pula tak sama dengan yang diberikan pada hari kami makan di kedai itu. Resit asal tiada penjelasan terperinci.

“Jika peniaga itu menjelaskan lebih terperinci misalnya makanan yang diambil mengikut kilogram, sudah tentu takkan timbul isu kerana kami akan faham kerana memang kami pun nak belanja keluarga,” katanya.

Ekin pada masa sama turut menafikan 20 orang anggota keluarganya makan di kedai tersebut sebaliknya hanya 16 orang termasuk bayi dan kanak-kanak.

Dia berkata demikian susulan isu caj makanan laut didakwanya melampau di sebuah medan selera di Johor Bahru yang tular baru-baru ini.

Ekin yang juga pelakon drama bersiri Kawan terkejut apabila dicaj RM1,260 untuk hidangan yang dimakan beramai-ramai itu.

Sebagai anak jati JB, dia mengakui sudah menjadi kelazimannya menjamu selera di medan selera tersebut, tetapi di sebuah kedai berbeza.

Bagaimanapun, katanya, belum pernah dia dikenakan caj melampau.

Malam tadi, portal ini melaporkan peniaga terbabit tampil memberi penjelasan mengenai hidangan dijamu kepada Ekin dan keluarganya.

Peniaga itu memperincikan setiap makanan yang dimakan antaranya pari bakar, siakap tiga rasa, siakap stim, udang mentega, sotong goreng tepung, ketam cili dan siput gonggong.

Wanita itu juga mencadangkan Ekin dan Mawi untuk bertemu bagi membincangkan isu berkenaan sekiranya mereka masih belum berpuas hati dengan penjelasan diberikan.

Namun, Ekin berkata, dia tidak berminat untuk memanjangkan lagi isu berkenaan.

“Tak semua peniaga kenakan harga kayangan. Tapi saya berharap semoga mereka yang lain telus dan memaparkan tanda harga untuk makanan laut yang dijual ikut harga pasaran.

“Taklah kita pun terkejut apabila nak membayar. Bagi pembeli pula, mereka harus bijak, timbang dulu betul-betul makanan laut itu agar tiada isu di belakang hari,” katanya.