Skip to main
Logo Malaysiakini

Wang bukan segalanya untuk Fasha Sandha

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pelakon Fasha Sandha tidak berkira soal bayaran apabila membabitkan keghairahan terhadap lakonan walaupun namanya berada dalam senarai pelakon gred A.

Dia berkata, dalam berkarya anak seni perlu membuat pertimbangan wajar dalam memilih naskhah dan bukan bersandarkan pada tarikan wang semata-mata.

“Dalam menerima sesuatu tawaran setiap filem mempunyai bajet tertentu tapi kita kena tengok situasi, antaranya tak boleh ikut kadar bayaran semasa kita.

“Macam filem ini saya buat kerana cinta pada lakonan selain dapat timba ilmu.

“Apa pun bayaran itu subjektif, jadi setiap pelakon kena jaga kadar masing-masing, jangan sampai dipermainkan,” katanya ketika ditemui di majlis pratonton filem Cerana Biduk Bu Merah di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Menurut Fasha, 39, kesanggupannya memenuhi tawaran penerbit dan pengarah Haizul Anafer Ali adalah kerana kredibilitinya sebagai seorang yang berpengalaman sekali gus membuatkan dia mahu membantu.

“Mana tahu, hari ini hari dia, esok lusa mungkin hari kita pula. Alhamdulillah, dia juga banyak projek lain, jadi berbalik semula rezeki itu,” katanya.

Cerana Biduk Bu Merak merupakan filem genre seram terbitan Goldhill Pictures Sdn Bhd yang berkisahkan seorang wanita tua yang dipinggirkan orang kampung dan hidup sendirian di sebuah rumah pusaka.

Walaupun sudah berusia, kulit Bu Merah tidak berkedut malah sentiasa cantik kerana menjadi hamba kepada penjaga Cerana Biduk yang berpuaka.

Bu Merah juga telah menyelamatkan seorang gadis bernama Sofia yang hampir dirogol.

Filem itu bakal ditayangkan di 70 pawagam tempatan bermula 12 Oktober ini.

Pada masa sama, Fasha berkata barisan pelakon hebat terutama Wan Hanafi Su yang kali terakhir bergandingan dengannya 18 tahun lalu membuatkan dia terus menerima pelawaan Haizul.

Sementara itu, mengimbas semula pengalaman di set penggambaran lima tahun lalu, Fasha mendedahkan tiada sebarang kejadian aneh berlaku tetapi dia berdepan gangguan misteri di inap desa di Kuala Kangsar, Perak.

“Sebelum bekerja terutama di lokasi terpencil saya pastikan jaga adab dan ‘minta izin’ supaya kerja berjalan lancar kerana niat nak mencari rezeki.

“Alhamdulillah tiada sebarang kejadian berlaku kepada saya sepanjang penggambaran, cuma di tempat penginapan terdengar bunyi cakaran di dinding pada waktu malam,” katanya lagi.