Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Romantisme batik Tuan Wil

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Medan Pelancong adalah himpunan berpuluh-puluh gerai yang dikhaskan untuk para peniaga bumiputera di Kuantan satu masa dulu.

Ia menjadi tarikan pelancong yang datang ke bandar tersebut selain kedai-kedai ikan kering. Terletak di Jalan Besar, Kuantan, berhampiran dengan Sungai Kuantan selain stesen bas utama.

Terdapat kedai membaiki kasut (Farid Kulitkraf), kedai membuat songkok (kedai Haji Gundal), kedai jahit pakaian (Zaihan), kedai jamu (Toko Asyhadou), kedai batik (Ramli Malik Batik) serta beberapa kedai lain.

Pelukis terkenal Abu Yusof juga pernah menolong keluarganya berniaga di kawasan berkenaan.

Sedikit trivia - pasangan pelakon Kuza dan Kuna yang terkenal sedikit masa dulu pernah berniaga makanan di kawasan itu sebelum mereka popular sebagai pelakon.

Medan Pelancong telah dirobohkan dan dijadikan taman bunga yang menjadikan Menara 118 sebagai tarikan utamanya. Para peniaga di kawasan tersebut ramai yang sudah menutup perniagaan.

Namun ada sebilangan daripada mereka berpindah ke Serambi Teruntum.

Masih mengekalkan konsep yang sama, Serambi Teruntum kini mengumpul ramai peniaga khususnya bumiputera.

Para peniaga di situ masih mengekalkan perniagaan seperti menjual kraftangan serta beberapa yang lain. Pada awal pembukaannya, Serambi Teruntum yang terletak di Tanjung Lumpur itu tidak mendapat sambutan.

Namun setelah pelbagai usaha dilakukan, kini peniaga di kawasan berkenaan boleh menarik nafas lega. Namun usaha yang lebih giat masih perlu dilakukan untuk menambah kemeriahannya.

Mungkin kerana ia terletak sedikit jauh dari kawasan pusat bandar, kehadiran Serambi Teruntum tidak begitu disedari. Sekiranya pihak yang berkuasa dapat menjemput penyewa terkenal seperti kedai-kedai rangkaian makanan segera popular ke kawasan tersebut mungkin ia akan lebih menggamit.

Acara bulanan dan mingguan juga akan membantu.

Pihak berwajib juga boleh mula memberikan tumpuan yang lebih baik untuk mengadakan pesta makanan serta jualan barangan baru atau terpakai yang sangat popular di Kuantan.

Ini tentu saja secara tidak langsung dapat menguraikan aliran trafik yang semakin teruk di pusat bandar Kuantan terutamanya pada hujung minggu.

Antara galeri lukisan terawal di Kuantan ialah Studio Remy milik pelukis terkenal Mohd Shaimy Hashim. Studio tersebut dibuka sekitar 1970-an.

Menariknya ialah studio berkenaan beroperasi di Medan Pelancong. Pelukis legendaris Osman Limat juga memulakan kariernya berhampiran dengan studio berkenaan.

Yang lebih menarik ialah apabila Serambi Teruntum juga mengekalkan tradisi berkenaan.

Selain Zam Batik milik waris kepada pelukis batik terkenal tanah air, Ramli Malik, Tuan Wil Tuan Mat pemilik galeri Cendanasari juga memilih untuk menjadikan Serambi Teruntum sebagai lokasi tempat menghasilkan karya.

Mencuba sesuatu yang baru sememangnya menjadi tarikan kepada para seniman. Mengerjakan sesuatu yang sama walaupun sudah terbukti berjaya memang mengasyikkan namun seniman sejati ia bukan cabaran yang menyeronokkan.

Setelah lama bergelumang menghasilkan karya-karya batik, Tuan Wil mula mencabar diri dengan menghasilkan karya yang lebih menjurus kepada catan.

Dia menggunakan segala bahan yang diperlukan untuk menghasilkan lukisan batik seperti canting, lilin, kain putih dan warna-warni yang dikhaskan untuk penghasilan karya dengan sedikit ‘pembaharuan’.

Kerana itu juga, dia yang bergerak melalui Kraftangan Malaysia diberitahu bahawa karya-karya baru yang dihasilkan itu tidak boleh diiktiraf sebagai hasil kerja batik sepenuhnya.

Jika dilihat secara kasar, karya yang dihasilkan memang mirip kepada batik. Sementelah pula Tuan Wil mengekalkan motif-motif yang popular (dalam kalangan pelukis batik).

Dia masih melukis penyu, burung dan juga pemandangan alam yang sememangnya menjadi kegemaran sesiapa yang terlibat dengan lukisan warna-warna air.

Namun sedikit kelainan yang dikesan ialah apabila daya serapan pada kain putih yang sangat terkawal.

Tidak seperti karya batik yang selalu dilihat seolah-olah degil dan tidak mengikut kata, karya-karya Tuan Wil nampak sangat taat. Mengikut saja sapuan berus seperti yang dimahukan oleh pelukis.

Justeru karyanya nampak seperti menggunakan cat minyak atau pun akrilik.

Mungkin di situlah berlakunya konflik mengapa Kraftangan Malaysia menolak untuk mengiktiraf karya-karya Tuan Wil sebagai karya batik.

Melalui carian internet, batik didefinisikan sebagai "seni dan teknik menghias kain dengan menggunakan lilin panas dan juga pewarna".

Itu yang dilakukan oleh Tuan Wil. Lalu kerana itu mungkin Kraftangan Malaysia masih boleh mengambil karya-karya yang dihasilkan oleh pelukis yang sudah berpuluh tahun memperjuangkan lukisan dengan gaya tersebut sebagai lukisan batik.

Tuan Wil memulakan kerjaya sebagai seorang pelukis cat minyak. Malah telah banyak karyanya yang dipamerkan di merata-rata tempat. Setelah memilih untuk bergerak di bawah Kraftangan Malaysia, dia kini menumpukan seluruh tenaga dalam penghasilan kraf batik.

Untuk lebih menonjol, Tuan Wil menggabungkan dua keistimewaan yang dimilikinya iaitu melukis menggunakan cat minyak dan mencanting batik. Hari ini kita dapati karya-karya yang dihasilkan Tuan Wil berjaya ‘mengelirukan’ peminat seniman berkenaan.

Sukar untuk membezakan karya batik yang dihasilkannya dengan catan yang menggunakan bahan popular seperti cat air, cat minyak serta akrilik.

Semasa dia tidak mencanting, Tuan Wil tekun menghasilkan karya-karya dengan cat minyak. Yang lebih menarik ialah apabila dia masih membatik walaupun menggunakan cat minyak.

Karya-karya cat minyak yang dia hasilkan pula masih bermotifkan batik.

Dibesarkan di kawasan nelayan, karya-karya cat minyak Tuan Wil selalu mengambil perempuan menjemur ikan kering, nelayan menjahit pukat dan kain batik yang dijemur sebagai karangan yang dihasilkan.

Karya-karya Tuan Wil sangat romantis dan sentimental. Ia menggamit kenangan yang mungkin tidak akan hadir lagi.


ABDULLAHJONES ialah seorang pelukis dan penulis.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.