Skip to main
Logo Malaysiakini

Usia bukan penghalang Badrul Muhayat bersanding

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Usia bukan penghalang buat hero popular era 1990an, Badrul Muhayat meneruskan niatnya untuk bersanding dengan usahawan, Norhayati Zulkapli.

Pelakon itu yang kembali bergelar suami kepada wanita berkenaan April lalu sudah lama merancang namun terpaksa menangguhkan majlis resepsi mereka disebabkan kekangan jadual.

“Ketika ini kami dihimpit dengan jadual padat dan akan melancong ke lima buah negara. Ia hadiah ganjaran daripada syarikat yang disertai.

“Kami mungkin akan mula buat perancangan untuk majlis sanding selepas pulang daripada bercuti nanti.

“Apa pun, saya tetap pilih untuk bersanding, biarlah usia dah masuk 55 tahun sekalipun. Bagi saya, tak jadi kesalahan selagi ada masa dan ruang,” katanya.

Berkongsi kisah pertemuan dengan Norhayati, 50, Badrul berkata, dia mulai tertarik hati dengan wanita berstatus ibu tunggal itu kerana dia seorang yang bijak.

Justeru, menurutnya, dia tidak mengambil masa lama untuk memperisterikan Norhayati sebagai suri hidupnya.

“Kami buat keputusan untuk berkahwin selepas sebulan berkenalan dan saya pilih tarikh lahir saya iaitu pada 18 April lalu untuk diijabkabulkan.

“Saya berkenan dengan isteri kerana kebijaksanaannya. Dia graduan Universiti Liverpool, England dan juga bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

“Tapi saya bukan nak riak. Cuma dari dulu saya sememangnya sukakan wanita bijak. Anak-anaknya juga berjaya. Ada bergelar doktor dan juruterbang,” katanya.

Badrul berkata demikian pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Cerana Biduk Bu Merah di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Untuk rekod, ini perkahwinan ketiga Badrul.

Pada September 2010, aktor itu bercerai buat kali kedua dengan Julia Daud. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata berusia 14 dan 16 tahun.

Mengulas tempoh perkenalan mereka yang singkat itu, Badrul berkata dia menganggap semua yang berlaku adalah ketentuan Tuhan.

Katanya, ada orang berkawan hingga bertahun-tahun pun belum tentu bertemu jodoh.

Menduda 13 tahun

“Ada yang kenal dua tiga minggu terus berkahwin. Selain ketentuan Allah, keserasian juga faktor utama dalam mencari pasangan,” katanya.

Badrul memberitahu, kehadiran isteri bagai melengkapkan lagi hidupnya selepas 13 tahun dia bergelar duda.

Katanya, sudah terlalu lama dia hidup sendirian dan kini dia berasa seronok kerana tidak lagi berasa sunyi.

“Dulu adik saya setiap minggu akan datang ke rumah untuk tengok sama ada saya OK atau tak. Sebab saya tinggal bersendirian. Mak saya juga akan bertanya khabar melalui panggilan telefon.

“Kini makan minum berjaga. Dulu sibuk sampai tak sempat jaga badan. Baju juga ada orang gosokkan malah berat badan juga bertambah,” katanya.