Skip to main
Logo Malaysiakini

Penyanyi keluarkan parang lepas tuan rumah ajak bincang isu tunggakan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Seorang pemilik rumah sewa mendakwa penyanyi lelaki popular era 1990-an yang sudah tiga bulan tidak melunaskan hutang tertunggak berjumlah RM3,600 mengeluarkan parang apabila dia datang untuk menyelesaikan masalah.

Liza Mohamed menyifatkan sikap lelaki itu yang enggan keluar dari rumah sewa selepas mempunyai tunggakan sejak Jun lalu sebagai seseorang yang sukar dibawa untuk berbincang.

“Dia keluar dengan parang sewaktu saya datang ke rumah itu untuk berbincang,” katanya.

Selain itu, Liza memberitahu, penyanyi terbabit juga tidak pernah membayar bil elektrik yang kini jumlahnya hampir RM7,000.

Pekerja swasta itu juga berkata, dia sudah melaporkan perkara terbabit kepada pihak polis daerah Wangsa Maju.

Liza berkata, penyanyi itu menyewa rumahnya di Setapak Indah, Kuala Lumpur sejak Oktober 2020.

Menurutnya, penyanyi itu juga mendapat bantuan daripada Pusat Pungutan Zakat (PPZ) melalui ejen yang membantu carikan kediaman untuk disewakan.

“Saya pula kebetulan memang nak sewakan rumah berkenaan pada masa itu dan bersetuju dengan kontrak sewa di antara kami yang tamat sepenuhnya pada September lalu.

“Tapi, malangnya hingga kini walaupun kontrak sewa sudah tamat, dia masih tak mahu keluar dari rumah saya.

"Saya ada datang ke rumah itu pada 18 September lalu untuk berbincang dengannya dan mohon dia sekeluarga keluar kerana saya nak menetap semula di rumah berkenaan yang juga aset peninggalan Allahyarham suami saya yang meninggal dunia pada 27 September 2019,” katanya dipetik Harian Metro.

Liza berkata, disebabkan penyanyi itu tidak membayar sewa yang sudah tertunggak empat bulan, dia kini turut berhadapan masalah kewangan.

Hal itu menurutnya turut memaksa dia untuk menduduki semula rumah sewa berkenaan selepas keluar dari situ.

“Jadi, saya harap sangat ada pihak dapat membantu sebab saya nak dia keluar dari rumah itu. Saya nak ambil khidmat guaman, tidak berkemampuan kerana bukan orang senang,” katanya.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah turut mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.