Skip to main
Logo Malaysiakini

Filem Harimau Malaya tak akan elak isu sensitif

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Untuk mengelak menjadi filem sukan yang klise, Harimau Malaya: The Untold Journey tidak akan mengelak daripada menyentuh perkara sensitif, termasuk keadaan paling buruk yang melanda Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). 

Pengarah dan pelakon Afdlin Shauki mendedahkan perjalanan itu akan dipaparkan sebelum pasukan bola sepak negara berjaya mengubah nasib mereka.

“Ia menyentuh perkara-perkara sensitif, itu saja saya boleh sebutkan. Dari sudut pengurusan FAM misalnya apa yang mereka lalui dan lakukan hingga berjaya ubah nasib Harimau Malaya. 

“Kami dah buat kajian, sepanjang perjalanan Harimau Malaya, beberapa kali presiden FAM digesa melepaskan jawatan dan persatuan itu dirombak atau digelar bangsat.

“Misalnya, kalau sekarang kita tak boleh sentuh pasal 3R, tapi zaman lalu, macam mana presiden FAM itu seorang kerabat diraja pun tetap dikecam untuk lepaskan jawatan dalam lagu Ultras Malaya,” katanya.

Katanya, filem diinspirasikan daripada kisah benar itu akan menyentuh perkara-perkara apa yang berlaku sebalik tabir perjalanan FAM dan Harimau Malaya yang belum dikupas dalam karya membabitkan skuad kebangsaan sebelum ini.

Filem itu juga mengisahkan kebangkitan semula Harimau Malaya setelah kemerosotan  yang membawa kepada peletakan jawatan jurulatih Tan Cheng Hoe awal tahun lalu.

Afdlin, 52, berkata, selain pihak pengurusan, filem itu turut memasukkan perspektif lain melibatkan penyokong yang digelar Ultras Malaya; jurulatih Kim Pan Gon; dan pemain.

Ujarnya, semua kisah itu diperoleh daripada temu bual untuk mendapatkan kisah menarik dan dimasukkan dalam skrip. 

“Jadi filem ini nanti taklah memaparkan sebuah filem bola yang klise, sebaliknya ada banyak konflik lain yang menjadi kelainan,” katanya. 

Afdlin berkata demikian pada majlis pelancaran Harimau Malaya: The Untold Journey di sebuah hotel di Petaling Jaya semalam.

Naskhah yang digarap oleh Afdlin, Haris M Nor, Norsyiella Annuar, dan Shaboromo itu akan memulakan penggambaran pada November ini dan dijangka siap sepenuhnya April tahun depan.

Wajah-wajah terbaru skuad Harimau Malaya, gambar hiasan

Filem itu dijayakan pelakon seperti Syafiq Kyle, Sophia Albarakbah, Tony Eusoff,  Aidil Aziz, Nam Ron dan Kevin Jay.

Bagi pengarah Baik Punya Cilok itu, setakat ini tiada perkara yang boleh mencetuskan kembimbangan walaupun jika terdapat babak yang tidak lulus tapisan Lembaga Penapisan Filem (LPF) mahupun FAM.

Ujar Afdlin, pihaknya sudah menandatangani perjanjian persefahaman dengan FAM malahan dia juga sudah bersedia membentangkan hujah-hujahnya sekiranya perlu berdepan pegawai unit tapisan LPF nanti.

“FAM beri kepercayaan penuh tapi kalau dah siap, mereka nak tengok dulu sebelum filem itu ditayangkan di pawagam.

“Bagi LPF pula, produksi akan cuba hasilkan filem secara jujur tapi jika terdapat juga babak yang perlu dipotong, kita akan cuba bentangkan hujah terbaik untuk memenangi hati mereka.

“Saya akan cuba bawa filem ini tahap yang ekstrem. Tapi kalau kena tarik ke belakang sikit, bolehlah tarik sikit. Konflik harus jadi sesuatu yang berbeza, nak bagi penonton juga harus sesuatu yang berbeza,” katanya.

Apa yang lebih penting ujar Afdlin, filem itu adalah untuk menyuntik semangat patriotisme terhadap pasukan bola sepak tanah air.

Katanya, kerana sukan bola sepak, rakyat Malaysia dapat bersatu hati.

“Sebenarnya kita semua adalah Harimau Malaya, tidak kira atas padang atau luar padang. 

“Semangat untuk tak mengaku kalah dan memperbaiki diri kita menjadikan kita Harimau Malaya,” katanya.