Skip to main
Logo Malaysiakini

Bajet 2024: Afdlin minta tambah infrastruktur, Gapena harap pembangunan bahasa Melayu tak dipinggir

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menjelang pembentangan Belanjawan 2024 esok, pengarah dan pelakon Afdlin Shauki berharap kerajaan menumpukan pembangunan infrastruktur yang boleh memberi manfaat kepada pemain industri filem tempatan.

Katanya, sebelum ini pihak kerajaan banyak membantu melalui pemberian Dana Kandungan Digital (DKD) dan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI).

Bagaimanapun dakwanya banyak ketirisan dilaporkan berlaku.

“Pada pandangan saya, apa lebih baik adalah pembinaan infrastruktur. Dengan kemudahan infrastruktur, ia diyakini dapat membawa nilai tambah kepada penghasilan produk-produk terbitan syarikat produksi tempatan.

“Nilai produksi tempatan akan nampak lebih gah dan pada masa sama produksi luar juga boleh menggunakan kemudahan itu misalnya pembinaan set kapal terbang seperti yang ada di Korea.

“Ini akan memudahkan produksi tempatan yang nak buat penggambaran. Kalau setiap produksi nak kena buat sendiri, tak mampu kita,” katanya.

Mengenai kewujudan Pinewood sebelum ini yang dikatakan tidak mendapat sambutan, Afdlin berkata, lokasi itu sebelum ini perlu disewa dengan kos yang agak mahal.

“Pinewood pun dah tak ada. Mungkin selepas ini kerajaan boleh sediakan fasiliti sesuai dengan kadar penerbit tempatan pula,” katanya pada majlis pelancaran filem terbaru arahannya, Harimau Malaya: The Untold Journey kelmarin.

Bagaimanapun, tambah Afdlin, ini bukan bermaksud dia menolak sebarang penganugerahan DKD mahupun FIMI. Katanya, kedua-duanya memang banyak membantu industri.

“Cuma ia tak menaikkan tahap filem kita ke arah yang sepatutnya,” ujarnya.

Menurut Afdlin, pada masa kini, infrastruktur berkaitan kebanyakannya dikendalikan oleh syarikat persendirian.

“Lihat (filem) Malbatt, bagaimana filem tersebut dihasilkan. Kalau nak tunjuk pada orang luar pun tak malu. Kalau kerajaan dapat membina infrastruktur ia sekali gus memprofesionalkan industri,” katanya.

Pembangunan bahasa Melayu

Sementara itu, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) menyarankan beberapa perkara berkaitan pembangunan bahasa Melayu untuk dipertimbangkan dalam pengumuman belanjawan esok.

Presidennya, Zainal Abidin Borhan berkata, kerajaan perlu menyediakan peruntukan yang besar dan perancangan yang menyeluruh bagi pembangunan bahasa Melayu di negara ini.

Menurutnya, perancangan itu hendaklah melibatkan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Perpaduan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta kementerian kementerian lain yang memiliki fungsi berkaitan dengan pembangunan bahasa Melayu.

“Perancangan pembangunan bahasa Melayu ini juga perlu melibatkan peranan Kementerian Luar Negeri untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu. Oleh itu, di setiap Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia dan Kedutaan Malaysia di luar negara, Atase Pendidikan perlu proaktif mengembangkan bahasa Melayu dalam kalangan penutur asing.

“Selain itu, kursus bahasa Melayu hendaklah diwujudkan di universiti-universiti ternama di negara-negara terpilih,” katanya.

Menurutnya, perjuangan bahasa Melayu menghadapi cabaran yang getir sejak Peristiwa Keranda-152, (1967), termasuk penglibatan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dalam memperjuangkan Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK) 1970, hinggalah ke penentangan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan Dual Language Programme (DLP) serta Unified Examination Certificate (UEC).

Katanya, cabaran itu memperlahankan segala usaha pembangunan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152.

“Perlu diingati dan diinsafi bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan isu kenegaraan dan pembinaan negara bangsa.

“Bahasa Melayu merupakan roh bangsa yang selaras dengan hasrat untuk membina masyarakat Malaysia Madani,” katanya.