Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Hikayat Ketuanan Melayu Finas

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Apa tahukah Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa ada banyak wang dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang hilang?

Seandainya benar Anwar mahu melaksanakan reformasi institusi serta menjalankan tata kelola pentadbiran yang lebih baik dan bersih, maka ada persoalan yang perlu dijawab oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil pada penghujung tulisan ini.

Sebelum Azalina Othman Said meninggalkan jawatan pengerusi Finas yang dia sandang selama lebih kurang sebulan sepuluh hari pada tahun 2015, dia sempat menyatakan:

"Suka atau tidak, industri kreatif dipelopori oleh orang Melayu jadi seeloknya biarlah Finas diterajui pemimpin Umno."

Dengan kenyataan itu, Azalina pun melepaskan jawatan dan meninggalkan Finas untuk menganggotai kabinet Najib Razak sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Kita tahu mesej besar yang mahu Azalina sampaikan. Memang sukar untuk sesiapa pun mempersoal berkenaan jalur besar dan garis tebal ketuanan Melayu dalam industri kerdil perfileman yang cuba Azalina ungkapkan.

Kalau pun bukan sepenuhnya industri kreatif negara dipelopori ketuanan Melayu, paling tidak perihal ketuanan Melayu dalam kepimpinan tertinggi Finas sememangnya wujud sejak lebih 42 tahun ia ditubuhkan. Melayu dan Finas memang tidak akan pernah dapat dipisahkan.

Ketepikanlah sejarah singkat zaman Malaysia Baru yang runtuh dek politik khianat dan pembelotan pemimpin-pemimpin Melayu Islam dulu. Hanya sekali itu sajalah nama pengerusi Finas dieja dengan nama  yang tak berbunyi Melayu, iaitu Gerald Hans Isaac, sebelum jawatan itu dikhatankan dan dikembalikan kepada Melayu.

Izinkan tulisan ini memetik kata Tengku Zafrul Abdul Aziz sewaktu menjadi menteri kewangan ketika pembentangan Belanjawan 2023 pada 7 Oktober tahun lalu.

“Kejayaan Mat Kilau dengan kutipan tertinggi dalam sejarah pastinya mendorong lebih ramai pengkarya menerbitkan filem seperti ini. Maka, kerajaan akan menyediakan RM50 sebagai Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (Dekan) bagi memacu industri kreatif tempatan.

"Kerajaan juga menyediakan Dana Kandungan Digital berjumlah RM102 juta bagi memasarkan produk penggiat seni dan menggalakkan penghasilan lebih banyak karya kreatif dan malar segar," katanya.

Sejarah kutipan tertinggi Mat Kilau sampai membuatkan Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri turut menyifatkan filem berkenaan sebagai kejayaan yang mampu mengangkat industri perfileman tanah air ke tahap yang lebih tinggi. Malah dia menyarankan Finas untuk mengenal pasti sejarah kritikal dan perjuangan pejuang masa lalu yang boleh diangkat sebagai bahan untuk difilemkan.

Maka moleklah kalau tulisan ini meraikan kisah rakyat dalam karya agung hikayat-hikayat Melayu yang mungkin ceritanya bernilai ratus juta kutipan kalau difilemkan.

Sekiranya kita membuka beberapa karya agung Melayu seperti Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Terong Pipit, Tuhfat Al-Nafis, Sejarah Melayu dan Hikayat Merong Mahawangsa, kita pasti akan bertemu banyak sekali momen korup pimpinan Melayu. Sikap tata kelola pemimpin Melayu mengurus organisasi yang dipelopori orang Melayu akan jelas ternampak penuh dengan babak-babak ‘sogok’ dan ‘makan suap’.

Kisah dari kitab Sejarah Melayu ini misalnya:

“Maka bendahara pun keluar. Maka emas yang sepuluh kati itu pun dipersembahkan pada Bendahara. Maka kata Nina Sura Dewana pada Bendahara, 'Tuanku, emas ini persembahan saya akan pembeli-pembeli sirih pinang Tuanku'. Maka kata Bendahara, 'Baiklah, tuan hamba memberi hamba, hamba ambil'.”

Atau kitab Tuhfat Al-Nafis yang merakamkan babak ini:

“Maka Raden Jaga pun berkerahlah menyuruh orang-orangnya sedia menahan langar orang-orang Sebukit itu dan Dayak pun dikumpulkannya beribu-ribu serta mengeluarkan beberapa belanja-belanja kepada Dayak itu, siang malam dengan berjaga hingga susahlah di dalam negeri Pinang Sekayuk itu.”

Sememangnya ada kekaburan atau putar belit yang sengaja dibuat bagi mengelirukan segala penyelewengan. Kekeliruan yang sengaja dicipta orang-orang berjawatan dalam kepimpinan itu tidak lain tidak bukan semestinya bertujuan untuk mencari makan dengan cara korup, jalan rasuah dan bermacam jenis kreativiti penyalahgunaan kedudukan.

Sepertimana kata Syed Hussein Alatas melalui bukunya Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi.

“Kegagalan membezakan pelbagai jenis rasuah dan menempatkannya pada konteks penilaian yang tidak tepat, hanya akan menimbulkan kekacauan dan pemborosan waktu.

"Masalah-masalah sampingan daripada definisi hendaklah tidak menghalang kita dalam mengkaji sesuatu gejala. Orang selalu dapat dihambat oleh persoalan definisi yang tak terselesai dan menjadikannya sebagai alasan untuk menutupi atau mengaburkan gejala yang dipermasalahkan.

"Masalah definisi yang selalu timbul dari waktu ke waktu harus diselesaikan secara terpisah dan hendaknya tidak digunakan untuk menutup atau mengaburkan gejala seperti yang sudah dikemukakan tadi. Kalau hal ini dilakukan nescaya akan menimbulkan kekacauan di dalam analisis dan komunikasi.”

Justeru dalam buku itu Syed Hussein Alatas mengemukakan tujuh jenis rasuah agar kita tahu dan tak terkeliru. Iaitu rasuah transaksi, rasuah investif, rasuah perkerabatan, rasuah memeras, rasuah defensive, rasuah autogenik dan rasuah dukungan.

Tulisan ini tidak mahu membebel panjang berkenaan setiap jenis rasuah yang Syed Hussein Alatas jeniskan. Malah untuk memberikan lebih banyak contoh betapa hanyir lendirnya perangai korup kepimpinan Melayu yang menguruskan institusi berketuanan Melayu yang dipolopori Melayu pun tak tergamak.

Cuma ada persoalan yang mahu tulisan ini pertanyakan kepada Fahmi Fadzil selaku menteri yang menjaga Finas.

Apakah dia tahu bahawa Finas sebelum ini merekodkan kehilangan dana sebanyak lebih RM19.6 juta melalui lebih 40 projek jahanam?


HARIS HAUZAH adalah seorang Melayu-Islam yang suka melihat sekolah yang bising dan jalan yang sibuk.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Berkaitan:
Syarikat produksi gagal jelaskan tuntutan geran Finas bakal disenarai hitam