Skip to main
Logo Malaysiakini

Altimet alu-alukan pengecualian duti hiburan persembahan pentas artis tempatan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Adun Lembah Jaya Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad menyambut baik cadangan kerajaan memberi pengecualian duti hiburan kepada persembahan pentas artis tempatan.

Lebih dikenali sebagai Altimet, komposer dan penyanyi rap itu berkata pengecualian duti hiburan merupakan sesuatu yang dinantikan-nantikan oleh artis tempatan.

"Bagi saya, ia adalah one little band aid that helps. Ia memandangkan kalau dilihat sebelum ini di Selangor, kadar 15 peratus sudah dihapuskan dan ia bergantung pada negeri.

"Tetapi, lokasi utama Kuala Lumpur sebelum ini adalah sebanyak 25 peratus dan pengumuman ini tentunya melegakan penggiat seni tempatan," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan bahawa kerajaan bercadang menurunkan kadar duti hiburan bagi Wilayah Persekutuan daripada 25 peratus kepada kadar baru.

Ini termasuklah pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis tempatan dan pengurangan kepada lima peratus duti hiburan bagi taman tema, pusat rekreasi keluarga, pusat permainan indoor dan simulator.

Selain itu, kerajaan juga mengumumkan pengurangan kepada 10 peratus duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis antarabangsa dan acara hiburan lain seperti tayangan filem serta acara sukan dan permainan.

“Kesempatan ini juga saya ambil untuk menyeru kerajaan negeri supaya dapat mempertimbangkan pengurangan duti hiburan yang dilihat mampu menyokong perkembangan bakat-bakat kreatif tempatan di samping merancakkan lagi aktiviti pelancongan negara,” katanya.

Dalam pada itu, di bawah inisiatif menyokong bakat tempatan, Anwar berkata kerajaan juga bercadang untuk menetapkan kadar cukai pendapatan khas antara 0 hingga 10 peratus kepada syarikat produksi filem, pelakon filem asing dan kru filem yang menjalankan penggambaran filem di Malaysia.

RM160 juta untuk penggiat seni

Katanya, kerajaan juga akan kembali menganjurkan Anugerah Seni Negara secara tahunan sebagai pengiktirafan dan penghargaan tahap tertinggi kepada tokohtokoh dan penggiat seni, budaya dan warisan.

Dalam Belanjawan 2024, kerajaan mengumumkan peruntukan RM160 juta untuk melaksanakan pelbagai inisiatif untuk manfaat penggiat seni, termasuk RM60 juta di bawah Dana Kandungan Digital untuk mempromosi karya tempatan dan menyokong kandungan berteraskan nilai kenegaraan.

Selain itu, sebanyak RM90 juta disediakan di bawah inisiatif Film in Malaysia Incentive (FIMI) untuk terus menggalakkan penghasilan filem bertaraf antarabangsa;

Sejumlah RM10 juta pula diperuntukkan bagi menyediakan Skim Dana Padanan MyCreative dalam menyokong anak-anak seni dalam penghasilan projek kreatif.