Skip to main
Logo Malaysiakini

Belanjawan 2024: Syarikat penerbit TV tak dapat banyak manfaat - Jurey

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) berharap kerajaan dapat memberi peruntukan secukupnya kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi memastikan lebih banyak perolehan rancangan swasta.

Kata Presidennya, Jurey Latiff Rosli, ia supaya RTM dapat menghasilkan lebih banyak kandungan yang selari dengan dasar kerajaan Madani seterusnya dapat meransang pertumbuhan industri kreatif penerbitan televisyen (TV) Malaysia.

“Ini kerana Industri kreatif penerbitan TV tidak mendapat banyak manfaat di atas pengurangan cukai duti hiburan seperti industri perfileman dan muzik,” katanya kepada Malaysiakini.

Semalam Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan sebanyak RM160 juta untuk melaksanakan pelbagai inisiatif untuk manfaat penggiat seni dalam Belanjawan 2024.

Ia termasuk RM60 juta di bawah Dana Kandungan Digital, RM90 juta di bawah inisiatif Insentif Penerbitan Filem Di Malaysia (FIMI) dan RM10 juta bagi menyediakan Skim Dana Padanan MyCreative.

Kerajaan juga bercadang untuk menetapkan kadar cukai pendapatan khas antara 0 hingga 10 peratus kepada syarikat produksi filem, pelakon filem asing dan kru filem yang menjalankan penggambaran filem di Malaysia.

Selain itu, pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis tempatan juga akan diperkenalkan.

Kerajaan turut bercadang untuk menurunkan kadar duti hiburan bagi Wilayah Persekutuan daripada 25 peratus kepada kadar baru.

Jurey berkata, PTVM menyambut baik usaha kerajaan bagi mempromosi karya tempatan dan menyokong kandungan berteraskan nilai kenegaraan selain menggalakkan penghasilan filem tempatan bertaraf antarabangsa melalui DKD dan FIMI khususnya.

Namun katanya, peruntukan tersebut telah dilihat berkurangan sebanyak RM42 juta berbanding tahun sebelumnya.

“Respons awal PTVM adalah peruntukan pada tahun 2024 yang berkurangan sebanyak RM42 juta akan sedikit sebanyak menguncup pertumbuhan industri kreatif dan mengurangkan peluang pekerjaan kepada penggiat seni,” jelasnya.