Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN BUKU | Jalan panjang kembara muzik rock di Malaysia

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

ULASAN BUKU | Bagi golongan yang membesar pada era 1980-an dan 1990-an, muzik yang popular ketika itu tidak pernah mereka gelarkan sebagai ‘rock kapak’.

Kepada mereka apa yang dinikmati itu ialah muzik rock yang disampaikan dalam bahasa Melayu. Tidak ada nama khas yang mereka gunakan untuk genre muzik yang memuncak pada masa tersebut.

Buku 65 Tahun Muzik Rock Di Malaysia ada membincang perkara tersebut. Teori yang agak tidak boleh diterima akal ialah apabila ada pihak yang mencadangkan bahawa perkataan ‘rock kapak’ itu muncul kerana ketika itu terdapat beberapa persembahan rock diadakan di kawasan parkir kereta (car park).

Muzik rock di Malaysia ini menjadi amat popular disebabkan album pertama kumpulan Search dan penganjuran pertandingan Battle Of The Band.

Kemudiannya hampir semua kumpulan muzik yang terlibat mengadakan persembahan di fun fair, yakni suatu macam taman hiburan bergerak.

Kumpulan terbabit dibayar untuk menarik penonton bagi memenuhi taman-taman hiburan berkenaan. Amat jarang didengar pada waktu itu ada mana-mana persembahan muzik - sama ada rock, pop hatta dangdut - diadakan di kawasan parkir kereta.

Fun fair dan kenduri kahwin adalah tapak permulaan kepada kebanyakan kumpulan muzik . Oleh itu boleh dirumuskan bahawa perkataan ‘rock kapak’ itu tidak berasal daripada perkataan ‘car park’.

Perkataan ‘rock kapak’ sebenarnya dimulakan oleh akhbar.

Selain daripada fakta trivial mengenai asal usul nama ‘rock kapak’, buku tersebut juga membincangkan bagaimana M Nasir - sang maestro yang memberi sumbangan bukan sedikit kepada genre tersebut - sendiri tidak menganggap bahawa ia akan bertahan lebih daripada dua tahun.

Ia mungkin kesilapan meramal pertama M Nasir yang direkodkan, selain cerita belakang mengenai pendapat dia mengenai kumpulan popular, Iklim.

Bagaimanapun, ramalan M Nasir mengenai muzik rock hanya tergelincir beberapa tahun.

Seperti yang diketahui umum, muzik rock tempatan menikmati zaman gemilang dan kemuncaknya hanya untuk sekitar 10 tahun.

Terdapat banyak lagi perkara trivial yang dipaparkan dalam buku 65 Tahun Muzik Rock Di Malaysia dan ia tentu saja dapat menjawab pelbagai persoalan yang sering menjadi perbincangan - malah ada kalanya perbalahan - dalam kalangan peminat yang melalui zaman tersebut.

Ucapan tahniah perlu diberikan kepada penulisnya, Muhamad Takiyuddin Ismail. Dia bersungguh-sungguh membuat kajian demi untuk merekodkan kembali suatu era yang tidak ramai orang yang terlepas daripada tempiasnya.

Mereka yang membesar sekitar tahun 1980 hingga 1990-an - tanpa mengira siapa pun mereka - pasti sedikit sebanyak akan kena 'getahnya'. Hatta segala ahli politik dan ahli agama juga turut serta memeriahkan dunia hiburan pada waktu itu.

Seperti biasa, yang menjadi perbahasan pada zaman rock kapak bukan saja bisingnya muzik yang diperdengarkan, bahkan cara berpakaian dan sedikit 'keganasan' yang berlaku semasa konsert berlangsung.

Budaya kuning adalah perkataan yang selalu digunakan pihak tertentu sebagai cara untuk menakut-nakutkan orang ramai. Mempertahankan budaya timur selalunya menjadi senjata orang politik dan sebahagian orang agama.

Hal itu berterusan sehingga hari ini tanpa ada sebarang pengakhiran yang baik.

Jika diperhatikan, lirik lagu kumpulan rock pada waktu itu - selain bercerita mengenai cinta luka yang sentiasa aka nada peminatnya - turut berkisah mengenai keagamaan.

Biasanya tema keagamaan yang mereka pilih banyak berkisar kepada hal-hal tasawuf. Namun sesuatu yang harus diketahui ialah pengamal ajaran-ajaran yang pelik memang sangat menambat hati para pemuzik pada rock waktu itu.

Sebagai perbandingan, lirik muzik hari ini masih mengekalkan tema cinta luka namun generasi masa kini bergerak setapak lebih maju apabila dengan berani memasukkan unsur-unsur seksual.

Dan mereka melakukannya dengan sangat terbuka.

Takiyuddin ialah pensyarah sains politik yang keluar dari zon selesanya hanya kerana minat yang mendalam kepada zaman kegemilangan rock tempatan.

Buku 65 Tahun Muzik Rock Di Malaysia adalah suatu naskhah yang perlu ada kalau pun hanya sebagai suatu rakaman sejarah. Kelemahan kita adalah dalam merakam dengan benar satu-satu kejadian.

Menurut sesetengah orang, sejarah ditulis oleh orang yang menang. Namun buku Takiyuddin itu kelihatan berlaku adil kepada semua pihak.

Penulisnya berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendengar daripada semua dan apa pun kenyataan yang diberikan oleh mereka, ia dimuatkan di dalam buku tersebut.

Terpulang kepada pembaca untuk membuat rumusan sendiri.

Bahasa-bahasa yang digunakan oleh Takiyuddin juga adalah mudah dan santai. Antara hasil kajian yang memberangsangkan adalah bilamana dia berjaya mengesan pelukis sampul album kumpulan-kumpulan rock terbabit.

Dan yang paling mengujakan adalah apabila dia berjaya menemu bual Boul 86, seorang pereka sampul album yang banyak hasil kerjanya digunakan semasa zaman kegemilangan muzik rock.

Antara hasil tangan yang terkenal tentu saja sampul album Mentari Merah Di Ufuk Timur oleh Search, Battle Of The Band, Juara-Juara Rock dan banyak lagi.

Disertakan juga dalam buku itu temu bual Takiyuddin bersama pelukis tersebut serta ramai orang lain yang terlibat seperti syarikat rakaman, promoter konsert dan peminat setia.

Suatu peluang terlepas ialah apabila gambar-gambar dalam buku itu sekadar dijadikan hiasan. Banyak gambar berkenaan sebenarnya ikonik. Dan seperti yang dikatakan oleh seorang pembaca, kulit buku itu "Tak rock langsung!"

65 Tahun Muzik Rock Di Malaysia memang harus dimilik oleh sesiapa saja yang pernah melalui zaman kegemilangan ‘rock kapak’. Ia adalah satu masa yang sangat menarik sebelum kemudiannya dibunuh oleh era ‘rock leleh’.


ABDULLAHJONES ialah seorang penulis dan pelukis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.