Skip to main
Logo Malaysiakini

Persembahan Endang Hyder dibatalkan kerana sokong Palestin

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Persembahan pemain biola Endang Hyder di luar negara dibatalkan semata-mata sokongannya terhadap perjuangan rakyat Palestin menentang Israel.

Endang memaklumkan perkara itu di media sosialnya hari ini tetapi tidak mendedahkan butiran lanjut ketika dihubungi Malaysiakini.

“Selain mereka membatalkan persembahan saya dan syarikat itu menarik balik penajaan untuk projek muzik saya yang seterusnya, mereka turut gelakkan usaha saya dengan berkata saya bukan nama besar dan popular untuk bercakap tentang isu besar,” katanya.

Semuanya gara-gara tulisannya di Youtube yang mendoakan kesejahteraan “saudara-saudara” Palestin yang sedang berperang dengan Israel.

Sementara itu, dalam tulisan lain di X, dia berkata penganjur berkata terpaksa membatalkan persembahannya atas alasan keselamatan.

Bagaimanapun, katanya, dia akan diberikan peluang sekali lagi jika membuang komen yang menyokong Palestin itu dan menjadi “neutral”.

Endang juga terus menyatakan sokongannya kepada rakyat Palestin dengan menyumbang pendapatan daripada lagu-lagunya di Youtube kepada sebuah tabung bantuan kanak-kanak Palestin PCRF.

Dia juga meminta orang ramai untuk berkongsi pautan lagu-lagunya supaya dia mendapat lebih hasil untuk didermakan.