Skip to main
Logo Malaysiakini

Diserang sakit jantung, Dinsman kini stabil

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Seniman Dinsman dikejarkan ke Hospital Shah Alam, Selangor, selepas diserang sakit jantung, malam kelmarin.

Perkara itu dimaklumkan oleh seorang rakan yang juga aktivis PKR, Rozan Mat Rasip dalam hantaran di Facebooknya.

"Dimaklumkan tokoh teater dan penulis veteran Pak Dinsman mengalami serangan sakit jantung, malam tadi (kelmarin).

"Dia kini berada di wad Hospital Shah Alam. Mohon semua kenalan doakan kesejahteraannya agar pulih, insya-Allah," katanya.

Dinsman atau nama sebenarnya Shamsudin Osman turut menerima kunjung Setiausaha Politik Menteri Kesihatan Napsiah Khamis Maharan.

Napsiah kemudian memaklumkan Dinsman kini berada dalam keadaan stabil.

"Saudara kita sasterawan Dinsman dimasukkan ke hospital untuk rawatan. 

“Alhamdulillah semuanya stabil, doakan kesihatannya," katanya dalam hantaran di Facebook.

Dinsman merupakan pengasas dan presiden Pertubuhan Karyawan Seniman Malaysia (Paksi) yang ditubuhkan pada 2008.

Penulis pelbagai genre itu terkenal sebagai penggiat teater sejak 70-an dan popular dengan sajak-sajak perlawanannya bermula era reformasi selepas Anwar Ibrahim dipecat daripada kerajaan.