Skip to main
Logo Malaysiakini

Busana digayakan supermodel impian setiap pereka, kata Rizman Ruzaini

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pereka fesyen popular tanah air, Rizman Ruzaini melakar sejarah tersendiri apabila menggunakan khidmat supermodel antarabangsa, Naomi Campbell bagi memperagakan busana rekaan mereka.

Rizman Ruzaini menerusi ciapan di akaun Instagram turut meluahkan rasa teruja apabila gaun mewah itu diperagakan Naomi sempena acara penutup Minggu Fesyen Dubai.

“Menjadi impian setiap pereka fesyen untuk melihat seorang supermodel ikon terkenal memperagakan hasil karya mereka.

“Bila perkara itu menjadi realiti buat kami, kami sangat teruja dengan ketulusannya serta sikapnya yang profesional,” kata Rizman Ruzaini di akaun Instagram milik mereka.

Tambahnya, Naomi Campbell merupakan selebriti yang berada di kelas tersendiri dan tampil dengan penuh pesona apabila menggayakan busana itu di platform bertaraf dunia tersebut.

“Pereka kami turut meluangkan masa selama lebih daripada 600 jam dengan rasa cinta dan dedikasi mereka ke atas gaun ini yang menampilkan motif songket seperti Pucuk Rebung, Tampuk Manggis, Bunga Tanjung, Tampuk Kesemak dan banyak lagi,” kata duo itu.

Menurut mereka, gaun mewah itu diinspirasikan daripada kisah legenda mengenai seekor naga bernama Seri Gumum yang dikatakan menghuni Tasik Chini.