Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tiger Stripes' bukan lagi filem yang kami buat, kata pengarah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Filem ‘Tiger Stripes’, yang mula ditayangkan di pawagam tempatan semalam, telah banyak ditapis oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF), kata pengarahnya.

Amanda Nell Eu dalam satu kenyataan pagi ini meluahkan kekecewaannya terhadap pemotongan beberapa adegan, dan berkata ini sehingga ke tahap filem itu bukanlah produk yang sama yang memenangi Hadiah Utama Cannes Critics Week pada bulan Mei.

“... Saya perlu katakan bahawa saya tidak bersetuju dengan suntingan yang akan ditayangkan di pawagam tempatan.

“Hidup sebagai artis dan pembikin filem di Malaysia, kita semua sudah terbiasa dengan kerja dan suara kita ditapis.

“Walaupun bukan tujuan saya untuk menyerang lembaga penapisan, saya ingin nyatakan bahawa filem yang akan ditayangkan di pawagam tempatan bukanlah filem yang kami buat, dan bukan filem yang memenangi Hadiah Utama Cannes Critics Week,” kata Nell Eu dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebook.

Amanda Nell Eu

Pengarah filem itu tidak memperincikan babak yang didakwa telah disunting oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, LPF telah menapis "kegembiraan menjadi seorang gadis muda di Malaysia".

"Seorang gadis muda yang mungkin berbeza daripada yang lain, disalah faham, atau mempunyai keinginan untuk menyatakan dirinya secara berbeza daripada orang lain - seorang gadis muda yang tidak bersalah dan ingin tahu tentang dunia di sekelilingnya dan berjuang untuk kewujudannya di dunia ini."

Malaysiakini telah menghubungi LPF dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Fahmi Fadzil untuk mendapatkan ulasan mengenai perkara itu.

‘Tiger Stripes’ mengisahkan tentang Zaffan yang berusia 12 tahun (lakonan Zafreen Zairizal) ketika dia bergelut untuk memahami tubuhnya yang sedang akil baligh.

Diprovokasi oleh komunitinya, dia kemudiannya menyedari bahawa menerima hakikat diri sebenar adalah satu-satunya jawapan kepada kebebasannya.

Filem ini adalah penerbitan bersama antara lapan negara termasuk Malaysia, Singapura, Taiwan, Perancis, Jerman, Belanda, Indonesia dan Qatar.

‘Tiger Stripes’ adalah filem pertama arahan Nell Eu itu yang mencipta sejarah sebagai pengarah Malaysia dan Asia Tenggara pertama yang memenangi anugerah hadiah utama €10,000 (RM49,622) di Cannes Critics Week.

Awal bulan ini, Fahmi mengumumkan filem itu secara rasminya telah dipilih untuk mewakili Malaysia dalam Anugerah Akademi (Oscars) ke-96 dalam kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik.