MP: Waktu tayangan filem tempatan di pawagam tak masuk akal
PARLIMEN | Masih terdapat kelemahan dari segi pengedaran dan usaha promosi filem tempatan yang memerlukan perhatian segera, kata Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera).
Katanya, ini walaupun kerajaan telah menguatkuasakan skim wajib tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada 2005.
"(Ia) sepatutnya dapat memastikan filem-filem tempatan ditayangkan di pawagam untuk sekurang-kurangnya dua minggu, skim ini masih ada kekurangan yang regresif terhadap pembangunan industri filem tempatan.
"Pemerhatian saya menunjukkan yang pawagam-pawagam tempatan biasanya memperuntukkan waktu tayangan yang tidak masuk akal untuk filem-filem tempatan, seperti awal pagi atau lewat malam pada hari bekerja.
"Lebih buruk lagi, sesetengah waktu tayangan untuk filem tempatan dijadualkan terlalu dekat dengan waktu sembahyang, seakan-akan mereka ingin menghalang penonton dari datang menyokong filem-filem ini," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Syerleena memberikan contoh filem “Walid” dan “Pagari bulan” yang diperuntukkan hanya ada satu tayangan di setiap pawagam selepas hanya seminggu berada di pawagam.
"(Filem ini) tidak ada sebarang tayangan dijadualkan pada waktu malam, kecuali di satu pawagam sahaja.
"Sekiranya ada sekalipun, tayangan ini dijadualkan pada jam 7:30 malam, berdekatan dengan waktu sembahyang Maghrib.
"Kita tidak boleh biarkan perkara ini berterusan begini kerana industri filem berpotensi untuk menyumbang kepada ekonomi kita sekiranya diberikan perhatian penuh," katanya lagi.
Awal Oktober ini, pengarah dan pelakon Michael Ang menyeru Pengarah dan pelakon Michael Ang menyeru Finas untuk melakukan sesuatu bagi menyelamatkan Pagari Bulan selepas tayangan filem itu didakwa dikurangkan dan dibatalkan di beberapa buah pawagam.
Pelakon dan pengarah, Afdlin Shauki pula mencadangkan Finas untuk merombak semula Skim Wajib Tayang supaya ia memberi kelebihan waktu tayangan kepada filem tempatan untuk dijual.
Menurut Afdlin, dengan menstruktur semula Skim Wajib Tayang, tindakan itu dipercayai dapat melindungi penerbit daripada menanggung kerugian gara-gara penarikan balik tayangan filem bagi memberi laluan kepada filem blockbuster khususnya dari Hollywood.
Sementara itu, Syerleena juga memberitahu Dewan Rakyat bahawa industri perfileman Malaysia perlu mendapat sokongan pasaran tempatan terlebih dahulu sebelum dapat berkembang di peringkat antarabangsa.
Pemimpin DAP itu juga berkata negara boleh mencontohi Korea Selatan dalam membuat perubahan drastik terhadap industri hiburan.
"Mereka hadkan kemasukan filem asing. Maknanya, sekiranya kita ke pawagam di Korea Selatan, 8 dari 10 filem yang ditayangkan adalah filem tempatan.
"Perkara ini akan meningkatkan persaingan dalam kalangan pembuat filem tempatan dan seterusnya meningkatkan kualiti filem-filem tempatan," jelasnya.
Kata Syerleena lagi, saranannya untuk mencontohi industri perfileman Korea Selatan itu mungkin akan mendapat tentangan sesetengah pihak.
"Tetapi ia merupakan satu langkah yang diperlukan untuk kita memajukan industri filem tempatan," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai