Skip to main
Logo Malaysiakini

FDAM dapat kebenaran ROS untuk beroperasi semula

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dibenarkan semula beroperasi secara rasmi selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menerima rayuan badan tersebut.

Pemangku Presiden FDAM, Zulkeflie M Osman, berkata kelulusan tersebut diterima ROS melalui kuasa yang diperuntukkan kepada Menteri Dalam Negeri mengikut Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966.

Sehubungan dengan itu, katanya, FDAM diminta untuk bertemu ROS Wilayah Persekutuan bagi membincangkan penambahbaikan yang dikemukakan kerajaan.

Kata Zulkeflie pertemuan FDAM dengan ROS Wilayah Persekutuan itu diadakan di Kuala Lumpur semalam.

“Pertemuan itu saya hadiri bersama setiausaha, Mohamad Zaini Hassan, dan bendahari, Loganathan Kanabathy," katanya.

Menurut pengarah filem Kekasih Awal Dan Akhir itu lagi, dalam pertemuan berkenaan beberapa isu dibangkitkan termasuk logo rasmi FDAM yang akan dimuktamadkan dalam mesyuarat agung tahunan pada penghujung tahun ini.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan status FDAM menjadi tanda tanya apabila ROS membatalkan pendaftaran pertubuhan tersebut melalui Seksyen 13 (1) (c) (iv) Akta Pertubuhan.

Perintah pembatalan berkenaan berkuat kuasa mulai 7 Jun lalu.

Mantan presiden dan salah seorang pengasas FDAM, Mahadi J Murat, bagaimanapun berkata, pembubaran itu sah namun persatuan itu masih boleh diselamatkan melalui kuasa menteri dalam negeri.

Bagaimanapun, ketika itu Zulkeflie menafikan FDAM dibatalkan sebaliknya mendakwa ia cuma masalah kecil dan sedang cuba diselesaikan.

Mengulas fokus dan hala tuju FDAM ketika ini, Zulkeflie berkata, pihaknya akan mempertingkatkan kualiti pengurusan persatuan termasuk langkah-langkah penambahbaikan dan idea baru.

Justeru, menurutnya, hubungan serta kerjasama FDAM dengan pihak kementerian, jabatan dan pihak swasta yang berkaitan dengan perfileman serta stesen TV diharap akan lebih diperkukuhkan selepas ini.

“Demikian juga usaha berterusan FDAM dalam mengembangkan kerjasama luar dengan institusi pengajian tinggi sama ada awam atau swasta.

“Sebagai persatuan tunggal yang mentauliahkan pengarah filem di Malaysia, FDAM sentiasa mengharapkan sokongan penuh daripada semua pihak untuk melahirkan pengarah yang kompeten serta menyahut cabaran seiring kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya.