Skip to main
Logo Malaysiakini

Bad Indigo meninggal dunia

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penyanyi Bad Indigo meninggal dunia di bengkel kenderaan di Ampang yang juga tempat dia bekerja jam 7 malam tadi.

Menurut rakan sekerjanya, Bad dikatakan mengalami hipoglisemia atau kekurangan gula dalam darah.

“Memang mengejutkan. Katanya, dia tengah sakit dan berlaku hipoglisemia, dia diberi minum air. Tiba-tiba, dia senyap.

“Bos dia yang juga kenalan saya baru hubungi saya. Jenazah masih lagi di bengkel,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Anggota kumpulan itu, Shah turut mengesahkan Bad meninggal dunia dalam satu hantaran di media sosial.

Kali terakhir Bad memuat naik hantaran di Instagram ialah tiga hari lalu berupa video yang meniup semangat kepada pengikutnya di platform itu supaya tidak berputus asa dan mengingati Allah setiap kali dilanda ujian.

Bad yang menghidap kencing manis pernah menjalani pembedahan membuang tiga jari kaki pada 9 Mei tahun lalu sebelum semua jari kakinya terpaksa dipotong beberapa bulan kemudian.

Dia kemudiannya terpaksa menggunakan bantuan alat walker dan kerusi roda untuk memudahkan pergerakan.

Bad yang pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Ashira mengumumkan mereka sudah bercerai melalui hantaran video di Instagram pada 23 Jun tahun lalu.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 11 Mac 2021 selepas bersama-sama menyertai program Gegar Vaganza musim ketujuh.

Bad memohon status OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas menjalani beberapa prosedur memotong jari kaki kiri.