Skip to main
Logo Malaysiakini

Dibidas sendu, Mona Allen pesan fokus niat asal sebelum berhimpun

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pelakon Mona Allen berpendapat sebelum seseorang hadir pada Himpunan Solidariti Palestin, mereka wajar fokus pada niat asal dan bukan memikirkan kepentingan sendiri semata-mata.

Katanya, adalah lebih baik sekiranya rakyat Malaysia yang hadir himpunan diadakan sebagai tanda mengutuk serangan Zionis terhadap rakyat Palestin itu benar-benar telus dengan perjuangan mereka.

“Kisah semalam tular tanpa sengaja. Sila amati dan hadam bahawa adalah lebih bagus sekiranya semua yang hadir ketika itu tiada propaganda kepentingan sendiri sebaliknya fokus pada Palestin.

“Kerana itulah punca dan niat anda pada asalnya bukan fokus untuk menjadi content creator pada hari itu. Sekian,” katanya.

Mona, 37, berkata demikian susulan kenyataannya yang menggambarkan dia seolah-olah tidak bersetuju himpunan solidariti itu diadakan.

Isteri pengarah dan pelakon Pekin Ibrahim itu juga berkata, disebabkan kenyataannya, segelintir rakyat Malaysia sanggup menuduh dia sebagai Zionis.

Menurutnya, tuduhan itu berlaku disebabkan terlalu ramai yang gemar membaca tajuk tanpa mengambil kisah isi kandungan.

“Mereka suka membaca tajuk tanpa membaca isi yang ada lalu terus melabel apa yang anda rasa.

“Ada banyak Direct Message (DM) yang bersetuju atas apa yang saya caap kerana mereka cerdik menilai, tapi ada juga DM yang saya terima seolah-olah saya ini menyokong pihak Zionis.

“Apa yang saya katakan adalah, tentang politik dan populariti. Bukan tentang peperangan,” katanya.

Semalam, dalam kenyataannya Mona berkata, adalah lebih afdal mengadakan solat hajat di rumah untuk membuktikan sokongan kepada negara berkenaan berbanding berhimpun ramai-ramai.

Dalam kenyataan sama, pelakon Cik Serba Tahu itu berkata, acara tersebut juga dilihat mempunyai kepentingan politik untuk menaikan nama seseorang.

Susulan itu, segelintir pihak yang lain katanya melabel dia ‘sendu’ kerana terdesak mencari populariti dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Namun, Mona secara sinikal membalas kenyataan itu dengan berkata, dia menyedari dirinya memang ‘sendu’ sejak mendirikan rumah tangga dan beranak satu.

Sendu perkataan digunakan untuk melabel seseorang artis yang sudah tidak popular dalam industri.

Malah katanya, dia juga bukan seorang yang gemar mengejar populariti, justeru kehidupan menguruskan anak tidak menjadi masalah buatnya.

“Yang cakap saya sendu, OK saja jadi sendu. Ada orang dia suka glamor, ada yang suka low profile. Saya pun sekarang bukan seorang pelakon kerana sudah jadi suri rumah tangga.

“Duduk rumah adalah pekerjaan saya, jaga anak adalah pekerjaan saya. Jadi saya memang sendu dan tak gila glamor sebab suka dengan kehidupan saya sekarang.

“Yang kata biasalah dah sendu, up kenyataan untuk viral itu, anda salah ya,” katanya yang turut mengiringi kenyataan itu dengan tanda pagar #lovesendu.