Skip to main
Logo Malaysiakini

Bella Hadid ajak dunia tekan pemimpin hentikan perang Gaza

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Supermodel Bella Hadid menggesa masyarakat dunia untuk terus menekan pemimpin mereka agar tidak melupakan keperluan penduduk Gaza serta memastikan nyawa orang awam tidak dikorbankan.

Kata Bella, peperangan mempunyai undang-undang antarabangsa dan ia harus ditegakkan walau apa jua cara sekalipun.

Menurutnya, terdapat krisis kemanusiaan terbesar di Gaza dan ia harus ditangani.

“Saya perjuangkan hak kemanusiaan, mengetahui bahawa keamanan dan keselamatan adalah milik kita semua.

“Mereka memerlukan akses kepada air dan makanan. Hospital memerlukan minyak untuk menghidupkan generator bagi menyelamatkan mereka yang cedera dan memastikan orang ramai terus hidup.

“Justeru, kita semua mesti bersama-sama pertahankan hak kemanusiaan dan mempunyai belas kasihan serta menuntut pemimpin kita berbuat yang sama.

“Saya percaya semua agama menghormati konsep keamanan. Cuma kerajaan saja yang korup dan jalinan kedua-duanya menjadikan ia dosa terbesar sedangkan kita semua adalah satu kerana Tuhan menciptakan semua manusia setara,” katanya.

Bella atau nama penuhnya Isabella Khairiah Hadid juga memohon maaf kerana selama ini dia membisu.

Namun, Bella, 27, berkata dia sudah tidak dapat terus mengunci mulut lalu memilih untuk bersuara isu-isu Palestin dan Israel walaupun keselamatan diri dan keluarganya terancam.

“Maafkan kerana saya berdiam diri. Ini kerana saya belum menemui kata-kata yang sesuai untuk senario mengerikan sejak dua minggu lalu yang menyaksikan perhatian dunia dialihkan terhadap situasi meragut banyak nyawa tidak berdosa dan menjejaskan banyak keluarga selama berdekad-dekad.

“Setiap hari saya dikirimkan beratus-ratus ancaman bunuh. Malah nombor telefon saya dibocorkan dan keluarga saya juga berada dalam bahaya. Tapi saya tak boleh mengunci mulut.

“Ketakutan bukan menjadi pilihan. Penduduk dan anak-anak Palestin khususnya di Gaza tak boleh menerima jika kita membisu. Kita penakut tapi mereka yang berani,” katanya.

Bella menjelaskan, hatinya berdarah kesakitan berpunca daripada trauma yang dialami kerana keturunannya juga berasal dari darah Palestin.

Bagi Bella, sesiapa pun tidak harus dibawa pergi dari keluarga mereka sama ada buat sementara waktu atau selama-lamanya.

“Melihat kesan daripada serangan udara di Gaza, saya berduka dengan semua ibu yang kehilangan anak dan anak-anak yang menangis sendirian, mereka yang kehilangan bapa, abang, kakak, pakcik, makcik.

“Saya turut berdukacita terhadap keluarga Israel yang terpaksa berdepan dengan serangan mengejutkan pada 7 Oktober lalu, tak kira sejarah mereka, saya mengutuk apa saja serangan pengganas ke atas nyawa orang awam di mana-mana.

“Mencederakan wanita dan kanak-kanak serta menyebabkan keganasan tidak membawa kebaikan untuk gerakan Free Palestine,” katanya.

Tambahnya lagi, adalah penting untuk memahami kesukaran menjadi Palestin dalam dunia yang melabel mereka sebagai pengganas.

Kata Bella, bapanya dilahirkan di Nazareth ketika 750,000 penduduk Palestin diusir pada 1948 satu perkara yang sangat melukakan dan memalukan.

“Sembilan hari selepas dia dilahirkan, dalam pangkuan ibunya, bersama-sama keluarganya telah diusir dari rumah mereka atau Palestin yang menjadi tempat berlindung. 

“Datuk dan nenek saya tak dibenarkan untuk kembali ke sana.

“Keluarga saya telah menyaksikan 75 tahun keganasan terhadap penduduk Palestin - terutamanya, pencerobohan brutal yang membawa kepada kemusnahan seluruh komuniti, pembunuhan kejam dan penyingkiran keluarga secara paksa dari rumah mereka.

“Amalan kependudukan di bumi Palestin masih diteruskan hingga kini. Kesakitan itu tidak dapat dibayangkan,” katanya.