Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah arah Amelia bayar ganti rugi RM10,000 pada A Aida

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Pelakon Amelia Henderson hari ini diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membayar ganti rugi RM10,000 kepada penerbit filem dan drama A Aida kerana melanggar kontrak penggambaran drama berjudul 'Sekali Lagi Cinta Kembali'.

Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Amelia terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur yang memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat A Aida Production Sdn Bhd.

Amelia atau nama penuhnya Amelia Thripura Henderson, 28, perlu membayar ganti rugi RM10,000 itu dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.

"Rayuan perayu (Amelia) dibenarkan dan perintah Mahkamah Sesyen diketepikan.

"Oleh itu, syarikat A Aida Production hanya layak mendapat ganti rugi nominal RM10,000 untuk pelanggaran kontrak dengan mengambil kira perayu telah mendapat bayaran pendahuluan sebanyak RM3,920," kata pesuruhjaya kehakiman itu ketika menyampaikan keputusan secara dalam talian hari ini.

Leong berkata mahkamah berpuas hati bahawa pernyataan pelakon berdarah kacukan India-Scotland dalam laman video Instagramnya tidak memfitnah A Aida Production Sdn Bhd yang merujuk kepada syarikat milik A Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang.

"Keputusan Mahkamah Sesyen untuk menyatakan Amelia telah memfitnah syarikat berkenaan adalah salah. Selepas meneliti pernyataan Amelia secara keseluruhan, saya mendapati bahawa pandangan yang dikemukakan Amelia tidak merendahkan reputasi A Aida Production.

"Kenyataan Amelia sekadar menjelaskan bahawa skrip drama itu tidak sesuai dengan beliau selain memberi komen bahawa watak sebagai 'Aira' akan menjejaskan imej baiknya dalam kalangan masyarakat dan peminatnya," katanya.

Jejas periuk nasi pelakon, kru

Leong berkata beliau berharap semua pihak akan mengambil iktibar daripada kes ini walaupun artis mempunyai hak untuk mengambil berat tentang imejnya namun seseorang itu tidak boleh menarik diri pada saat-saat akhir kerana ia tidak adil kepada syarikat produksi dan pengarah.

"Dalam hal ini, ia juga akan menjejaskan 'periuk nasi' pelakon lain dan kru (produksi) kerana sesetengah daripada mereka memerlukan penggambaran ini untuk meneruskan perbelanjaan kehidupan. Bagaimanapun, dalam kes ini ia bernasib baik kerana mempunyai artis lain sebagai pengganti yang dapat ditemui dalam masa 24 jam sekali gus dapat menyelamatkan semua pihak," katanya.

Amelia diwakili peguam Mansheel Kaur dan Wan Nurliyana Abdul Rahman manakala peguam Ashmadi Othman, Bushro Anuar dan Lukman Haqeem mewakili syarikat produksi itu.

Pada 28 Julai 2022, A Aida Production menyaman Amelia berhubung pelanggaran kontrak drama berkenaan apabila pelakon wanita itu menarik diri di saat akhir daripada penggambaran drama tersebut.

Menurut pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa Amelia telah menerima bayaran pertama sebanyak RM3,920 selepas menandatangani perjanjian kontrak serta bersetuju memberikan sepenuh komitmen bagi menjayakan drama tersebut.

Plaintif mendakwa Amelia membuat keputusan untuk menarik diri walaupun terdapat rundingan antara kedua-dua pihak sebelum notis penamatan kontrak diberikan kepada pelakon itu.

- Bernama