Skip to main
Logo Malaysiakini

Maryam Pagi ke Malam sekali lagi ke festival filem antarabangsa

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Filem Maryam Pagi ke Malam terpilih untuk menyertai tayangan perdana Asia di Festival Filem Antarabangsa Singapura (SGIFF) 2023 pada 1 Dis depan.

Penerbit filem berkenaan, Gunung Cherita dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya amat berbesar hati apabila filem tersebut terus mendapat perhatian daripada festival filem antarabangsa di Eropah dan Asia.

Ini katanya termasuk Festival Filem Antarabangsa Rotterdam (IFFR) dan Festival Filem Asia Barcelona, serta festival lain yang bakal diumumkan kelak.

"Selain itu, kami juga sangat berterima kasih atas sokongan daripada komuniti warga Malaysia di perantauan yang secara sukarela menganjurkan acara-acara tayangan di pelbagai negara di Eropah dan juga Amerika Syarikat.

"Malangnya, peluang menayangkan filem ini kepada penonton tempatan amatlah terhad, walaupun bukan untuk tujuan komersial tetapi untuk pendidikan dan kesedaran kepada penonton yang matang, dalam ruang tertutup," jelas kenyataan itu.

Reformasi terhadap kawal selia filem

Justeru Gunung Cherita berharap ruang untuk kreativiti dan ekspresi di Malaysia tidak disempitkan, sebaliknya dipermudahkan untuk perkembangan filem tempatan.

"Ruangan untuk berkongsi idea dan berwacana perlu dibenarkan, lebih-lebih lagi apabila ia diadakan secara bertanggungjawab dan berhemah.

"Sehubungan itu, kami mengharapkan berlakunya reformasi dasar dan undang-undang ke arah pengawalseliaan filem di Malaysia yang lebih demokratik dan merangkum, dan filem diklasifikasikan dengan tujuan memaklumkan orang ramai tentang kandungan sesebuah filem.

"Ini bagi membenarkan penonton membuat pilihan termaklum sama ada untuk menonton filem tersebut atau tidak, dan melindungi kanak-kanak bawah umur. Pada masa yang sama, filem tersebut kekal dalam bentuk yang diingini pembikin filem untuk tatapan penonton dewasa," katanya.

Filem Maryam Pagi Ke Malam dibintangi beberapa bintang popular tanah air termasuk Sofia Jane, Susan Lankester dan Vanidah Imran.

FIlem ini mengisahkan seorang wanita berusia 50an dari kerabat diraja yang ingin berkahwin dengan seorang lelaki muda berasal dari Sierra Leone.

Bagaimanapun, dia terpaksa berhadapan dengan pelbagai rintangan termasuk daripada pihak keluarga dan karenah birokrasi.

Filem arahan Badrul Hisham Ismail dan ditulis bersama dengan Faisal Tehrani ini turut mengetengahkan isu-isu seperti feminisme, perkauman dan orientasi seksual.

SGIFF akan berlangsung di The Projector, Singapura.

Tahun lalu, filem Maryam Pagi Ke Malam terpilih untuk tayangan perdana pertama (world premiere) di IFFR 2023, dan menjadi wakil tunggal Malaysia untuk edisi festival tersebut.