Skip to main
Logo Malaysiakini

Jenazah Bad Indigo selamat dikebumi

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Jenazah Allahyarham Bad Indigo selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara pada jam 2.50 petang hari ini.

Jenazah penyanyi itu terlebih dulu disolatkan di Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya.

Majlis pengebumian dihadiri lebih 100 anggota keluarga, saudara mara, rakan selebriti dan kenalan yang ingin memberi penghormatan terakhir buat allahyarham.

Semalam, Bad atau nama penuhnya Badrul Izhan Yeop Abdullah menghembuskan nafas terakhirnya di tempat dia bekerja iaitu di sebuah bengkel di Ampang kira-kira jam 7 malam.

Bad dipercayai meninggal dunia akibat masalah kesihatan berkaitan jantung.

Penyanyi itu meninggalkan dua cahaya mata hasil perkahwinan pertama iaitu Rayyan, 14 dan Rania, 13 tahun.

Bad aktif bersama Indigo yang ditubuhkan pada 1996 bersama Shah, Shaz dan Zam. Kumpulan itu terkenal dengan lagu-lagu bergenre R&B dan pop Melayu seperti Suraya dan Gadis Misteri.

Suraya merupakan lagu asal dendangan Headwind sebelum dirakam semula oleh Indigo dengan susunan baru.

Bad yang juga pemegang kad berstatus OKU pernah melakukan pembedahan memotong lima jari kaki akibat penyakit diabetes secara berperingkat.

Susulan itu, Bad perlu berjalan menggunakan alat bantuan walker bagi memudahkan pergerakannya.

Allahyarham juga pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi Ashira pada 11 Mac 2021, selepas mereka menyertai program Gegar Vaganza musim ketujuh.

Namun, mereka mengumumkan penceraian melalui satu hantaran di Instagram yang dikongsikan pada 23 Jun tahun lalu.