Skip to main
Logo Malaysiakini

TS Jeffry nafi eksploitasi Mar Rak dengan gimik

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penerbit dan pengarah filem Mar Rak, TS Jeffry, menafikan penularan klip video memaparkan sedutan adegan intim dalam filem arahannya adalah gimik untuk menarik perhatian umum.

Kata pemilik Pentas Wayang Production itu, dia tidak tergamak melakukan taktik pemasaran sedemikian semata-mata bagi melariskan filem yang diterbitkan sepenuhnya oleh syarikat produksi miliknya.

“Bukan strategi saya untuk buat gimik macam itu. Bagi saya itu adalah satu perkara yang tak sihat.

“Video tular itu bukan datang daripada pihak saya, malah saya sendiri pun tak tahu dari mana ia muncul,” katanya kepada Malaysiakini.

Pengarah Hantu Bukit Cina itu malah menegaskan tiada sebarang adegan ranjang dipaparkan dalam filemnya seperti didakwa segelintir pihak.

Mengukuhkan kenyataan itu, kata Jeffry, Mar Rak mendapat kelulusan 100 peratus Lembaga Penapis Filem (LPF) untuk tontonan dengan klasifikasi P13.

“Saya sendiri tak mahu paparkan adegan keterlaluan sebegitu.

“Filem ini cuma ada sikit babak yang memaparkan heroin menggoda pelakon utama sebab memang mesej cuba diketengahkan dalam filem adalah berkaitan minyak dagu atau sihir pengasih.

“Jadi, kalau tidak ditonjolkan adegan sedemikian tak sampailah mesej itu kepada penonton,” ujarnya ketika ditemui pada tayangan perdana Mar Rak di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur malam tadi.

Tunggu kesan klip tular

Baru-baru ini tular klip pendek memaparkan babak intim yang dilakonkan Kael Lean Chien Er yang membawa watak Krasem dan Nina KSC (Ai Ling) dalam sebuah rumah.

Klip itu dimuat naik di Youtube, Donthaveaname dan beberapa platform media sosial yang lain.

Mar Rak berkisahkan percintaan Krasem dan Rashida (Shatirah Amanda) yang terjalin secara rahsia kerana perbezaan agama dan bangsa. Namun, Ai Ling menyimpan dendam kerana cintanya tidak dibalas Krasem.

Ai Ling yang sangat sayang kepada Krasem berasa terlalu kecewa dan menggunakan khidmat bomoh Mophi, bagi menjayakan hasratnya untuk memiliki Krasem.

Naskhah itu dijadual menemui penonton pada 2 November ini.

Mengulas siasatan isu terbabit, Jeffry berkata dia sudah mengarahkan pihaknya untuk membuat diasatan dalaman seandainya wujud sebarang unsur sabotaj untuk menjejaskan filem berkenaan.

Bahkan katanya, dia tidak teragak-agak untuk meneruskan dengan tindakan undang-undang sekiranya individu terbabit ditangkap.

“Bagaimanapun kami masih belum buat tangkapan lagi hingga kini.

“Seandainya isu viral itu menjejaskan filem ini, kami akan ambil tindakan undang-undang.

"Kita kena tengok dulu sejauh mana kesan buruk yang mungkin timbul nanti,” katanya yang akan memanggil semua kru produksi dalam waktu terdekat.