Skip to main
Logo Malaysiakini

Konflik Palestin: Jika tak tahu tak payah komen, kata Shaheizy

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pelakon Shaheizy Sam Samad menasihatkan orang ramai agar berfikir panjang terlebih dulu sebelum membuka mulut untuk berkata sesuatu mengenai konflik Israel-Palestin yang berlaku sekarang.

Kenyataan pelakon filem Adnan Sempit dibuat sebagai respon terhadap komen salah seorang artis yang mempersoalkan strategi perang Hamas beberapa hari lalu.

“Kalau kau tak tahu apa yang terjadi dekat sana, kau tak payah bercakap," katanya.

Menurut Shaheizy adalah lebih baik untuk tidak memberikan kenyataan yang mengelirukan atau memburukkan keadaan, kecuali seseorang itu memang berada di kawasan konflik tersebut.

Walaupun dahulu memuji tindakan artis terbabit yang cakna mengenai isu berkenaan, namun Shaheizy mengingatkan, jarak yang begitu jauh membuka ruang untuk seseorang mendapat maklumat yang tidak tepat.

Katanya kita juga tidak tahu sama ada maklumat yang diterima itu sahih atau sekadar propaganda pihak tertentu.

Antara pelakon yang menjayakan La Luna

Pada masa sama, dia yang ditemui media sempena tayangan perdana filem La Luna di Kuala Lumpur semalam berkata, sebagai Muslim memang menjadi kewajiban untuk mereka bersama penduduk Palestin.

Shaheizy juga menegaskan dia bersetuju dengan kempen memboikot jenama tertentu yang dikaitkan dengan AS atau memberi sumbangan kepada rejim Zionis Israel.

Katanya dia tidak keberatan untuk tidak menggunakan barang berjenama terkenal kerana pada masa sama ia boleh menyuburkan lagi produk tempatan.

“Saya akan mula ataupun terus menyokong produk tempatan,” katanya.

Shaheizy turut berharap agar tindakan memboikot pengeluar atau syarikat yang menyokong Israel oleh rakyat Malaysia juga dapat membuka mata mereka agar sedar pentingnya menyokong produk tempatan, termasuk dalam bidang seni.

Filem La Luna menceritakan tentang perubahan hidup dan masa yang berlaku dalam kalangan masyarakat sesebuah kampung.

Ia akan mula ditayangkan pada 9 Nov ini di pawagam seluruh negara.