Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Ada pemimpin guna syariat untuk lakukan kejahatan’

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

“Masih adakah pemimpin yang berlandaskan Islam?" tanya pelakon Wan Hanafi Su ketika dia membicarakan isu sesetengah pihak menggunakan agama untuk kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.

Menurut Wan Hanafi kebanyakan pemimpin yang diberikan amanah gagal memahami apa yang diperlukan oleh syariat, malah ada antara mereka didakwanya mengikut selera sendiri saja.

Katanya ada juga pihak tertentu yang menungang agama dan itu merupakan suatu 'penipuan' kerana mereka melakukan kejahatan dengan berselindung di sebalik kebaikan.

Justeru dia bertanya jika masih ada pemimpin yang mentadbir dengan berlandaskan Islam.

Lalu dia menjawab sendiri pertanyaan tersebut.

"Ada... bukan tak ada, tapi (sebaliknya) yang banyak ada (sekarang) tu tak patut ada,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya, La Luna, di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Wan Hanafi membawa watak Tok Hasan yang tidak menyukai kehadiran seorang wanita kerana membuka perniagaan menjual coli ala jenama Victoria Secret di kampung Bras Basah.

Penduduk kampung menerima baik kedai itu - yang dikenali sebagai La Luna - tetapi sebaliknya ditentang keras oleh ketua kampung, Tok Hasan, yang ingin memusnahkan perniagaan tersebut walau apa jua caranya.

Tak kisah jika ‘dibenci’

Tok Hasan malah sanggup menggunakan agama untuk mempengaruhi penduduk kampung agar memusuhi wanita berkenaan.

Kata Wan Hanafi, jika mahu memilih pemimpin, individu terbabit perlu memiliki ciri tertentu seperti benar-benar mahu membawa rakyat ke arah kebaikan, bukannya "memimpin diri sendiri" sebagai keutamaan.

Bercakap kepada Malaysiakini, pelakon Lelaki Harapan Dunia itu berkata, jujur dalam melaksanakan amanah juga adalah salah satu tuntutan agama.

Pada masa sama, Wan Hanafi, 73, berkata untuk melakukan kebaikan secara ikhlas, seseorang tidak perlu menguar-uarkannya agar mendapat pujian daripada orang lain.

“Misalnya nak buat sesuatu projek, tak perlulah sampai naikkan billboard (papan iklan) nak umum, buat sajalah.

“Kalau ia baik, rakyat akan berterima kasih," katanya.

Menaikkan papan iklan untuk memberitahu orang ramai mengenai sesuatu projek yang akan dijalankan, katanya, hanya memberi gambaran seseorang itu bersifat hipokrit.

Mengulas mengenai wataknya dalam La Luna, Wan Hanafi berkata, dia tidak kisah sekiranya persembahannya mengundang kebencian.

Jika dibenci kerana watak tersebut, katanya, itu bermaksud dia berjaya dan penampilannya dalam filem berkenaan membekas di hati penonton.

“Saya yakin jika orang benci macam mana sekali pun, hanya watak yang dibenci," katanya.