Skip to main
Logo Malaysiakini

Fahmi cadang tubuh kesatuan lindungi kebajikan pelakon

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dalam ucapan sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 mengesyorkan sebuah kesatuan diwujudkan bagi melindungi kebajikan pelakon.

Katanya, walaupun terdapat lebih 50 persatuan perfileman di negara ini, tiada kesatuan yang terdiri daripada golongan pelakon didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

“Justeru, saya mengesyorkan penubuhan kesatuan supaya ia boleh memperjuangkan kepentingan berkaitan penggajian, kemudahan perubatan, kebajikan dan kesejahteraan penggiat industri perfileman,” katanya.

Untuk rekod, antara persatuan sedia ada ketika ini adalah Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima).

Pada masa sama Fahmi berkata, di peringkat Kementerian Kominikasi dan Digital (KKD) serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), perjanjian perkhidmatan produksi yang standard sedang dirangka untuk rujukan dan kegunaan syarikat produksi filem tempatan yang mempunyai lesen aktiviti Finas.

“Inisiatif ini bertujuan untuk menjamin perlindungan kepada pelakon (baru dan veteran) dan pekerja filem tempatan dari segi bayaran gaji atau elaun, perlindungan insuran atau Perkeso, kemudahan perubatan, penginapan, keselamatan dan makan minum sepanjang tempoh mereka terlibat dengan produksi perfileman di Malaysia,” katanya.

Mengulas isu fi atau kadar bayaran pelakon veteran, Fahmi berkata, KKD sentiasa cakna mengenai kebajikan semua penggiat industri kreatif.

Namun, katanya fi bayaran pelakon bagi sesebuah filem adalah tertakluk kepada persetujuan kedua-dua pihak iaitu pelakon dan syarikat produksi atau penerbit seterusnya dimeterai dalam kontrak yang ditandatangani bersama.

“Kontrak yang ditandatangani pula adalah tertakluk kepada Akta 136, Akta Kontrak 1950 yang mana sekiranya terdapat pertikaian oleh mana-mana pihak bolehlah dirujuk kepada pihak yang berkuasa,” katanya.

Mengenai isu royalti pelakon, Fahmi berkata, KKD bersedia untuk mengkaji perkara itu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sekiranya terdapat keperluan dalam industri.

Katanya, telah dinyatakan dalam Akta 1981(Akta 244) Finas tidak mempunyai peruntukan berkaitan hak royalti kepada semua pelakon dan kru belakang tabir termasuklah golongan pelakon veteran.

“Perkara ini telahpun dinyatakan dalam Akta Hakcipta 1987 yang dikuatkuasakan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), sebuah agensi di bawah KPDN,” katanya.