Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu dialog Surat Dari Tuhan: ‘Berkarya boleh, tapi ada batasnya’

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) enggan pembikin drama dipandang serong lagi oleh masyarakat dek isu-isu berkaitan dialog mahupun babak panas dalam sesuatu karya.

Justeru, Presidennya, Jurey Latiff Rosli, mengingatkan pihak yang terlibat dalam pembikinan drama mahupun apa-apa penerbitan televisyen (TV) agar lebih berhati-hati dengan tindak tanduk, percakapan atau dialog yang dipaparkan walaupun ia sekadar lakonan.

“Dulu heboh klip adegan panas menyebabkan masyarakat memandang serong warga produksi televisyen. 

“Ada perkara yang disebut dalam lakonan pun boleh menyebabkan implikasi buruk dan mengundang kecaman. 

“Jadi, kami mohon semua yang terlibat agar mengambil berat hal ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, seorang ustazah terkenal Asma Harun menzahirkan kekecewaanya susulan produksi Surat Dari Tuhan menggunakan dialog kurang manis yang menyebut berkaitan makam Nabi Muhammad SAW sambil berlatar belakangkan Masjid Nabawi. 

Susulan itu, ia mengundang cemuhan dan kritikan masyarakat kerana dialog dilontarkan disifatkan melampau serta didakwa tidak menghormati Tanah Suci.

Drama mula ditayangkan di slot Samarinda bermula 30 Okt lalu itu menampilkan barisan pelakon seperti Janna Nick, Shukri Yahaya dan Ummi Nazeera.

Surat Dari Tuhan berkisahkan Misha - watak dilakonkan Janna -  yang digambarkan sebagai menantu jahat yang mendera ibu mertuanya, Rafilah (lakonan Sheila Mambo).

Babak mengundang kontroversi itu memperlihatkan Misha dan ibu mertuanya dalam bilik hotel di Mekah. Kehadiran mereka ke Tanah Suci adalah bagi menunaikan umrah di situ

Ketika di hadapan Makam Nabi SAW, Misha berkata kepada ibu mertuanya: 

“Hei perempuan, kau dengar apa aku cakap, depan makam Rasulullah ini aku cakap depan muka kau, kalau Rayan benci aku, aku akan pastikan dekat tanah haram ini kau mampus!”

Jurey turut menggesa pihak stesen televisyen agar lebih bertanggungjawab terhadap penerbitan di bawah kendalian mereka.

Katanya, pihak stesen TV jangan hanya mengejar rating semata-mata dan tanpa segan silu mencari atau menggunakan kaedah mengundang kecaman demi populariti.

“Berkarya itu boleh tapi ada batasnya,” ujarnya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum stesen televisyen yang menyiarkan drama bersiri itu.