Skip to main
Logo Malaysiakini

J Lo, Joaquin Phoenix antara artis utus surat pada Biden desak gencatan senjata

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Lebih 250 artis Hollywood termasuk Jennifer Lopez (J Lo), Ben Affleck, Cate Blanchett, Joaquin Phoenix, John Cusack, Drake dan Annie Lennox - sebahagian daripada inisiatif Artists4Ceasefire - menulis surat kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden bagi mendesak gencatan senjata di Gaza.

Mereka yang turut disertai sejumlah penerima Oscar dan Grammy mendesak agar pertumpahan darah di kawasan konflik itu ditamatkan, bahkan berikrar untuk tidak akan berdiam diri berhubung krisis yang sedang berlaku.

Menyorot situasi kemanusiaan yang membimbangkan di Gaza, surat itu menekankan peranan diplomatik penting oleh kerajaan AS dalam menamatkan penderitaan, menunjukkan belas kasihan serta menegakkan undang-undang antarabangsa.

“Kami memohon, anda sebagai presiden AS, dan Kongres menggesa ke arah meredakan (konflik) dan gencatan senjata segera di Gaza dan Israel sebelum ada lagi nyawa terkorban.

“Kami juga mendesak pentadbiran anda, Kongres AS serta pemimpin-pemimpin dunia untuk menghormati semua nyawa di Tanah Suci, menggesa dan mengusahakan gencatan senjata tanpa berlengah - (seterusnya) mengakhiri pengeboman Gaza serta membebaskan tebusan dengan selamat.

“Kami percaya semua nyawa adalah suci, tak kira agama atau etnik dan kami mengutuk pembunuhan orang awam Palestin dan Israel,” menurut surat itu.

Bintang Hollywood yang juga aktivis kemanusiaan Angelina Jolie kelmarin akhirnya bersuara memberikan sokongan kepada penduduk Gaza yang ditindas.

Kata Angelina, tindakan pemimpin dunia yang tidak menyokong genjatan senjata di bumi Gaza boleh disifatkan sebagai perbuatan jenayah.

“Keengganan menuntut gencatan senjata dan menyekat usul Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta membenarkan kezaliman terhadap satu pihak (Palestin); pemimpin dunia terlibat dalam jenayah ini,” katanya.