Skip to main
Logo Malaysiakini

'Mungkin orang anggap saya dah tiada dalam industri...'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Melalui tempoh tiga tahun tanpa sebarang tawaran berlakon membuatkan seniman Jalil Hamid berasakan kemungkinan dirinya sudah dilupakan sebagai anak seni ketika ini.

Dalam nada seolah-olah merajuk, Jalil berkata, jika namanya masih diingati, tidaklah dia menyepi dari radar industri selama itu.

“Mungkin dah boleh dianggap saya tiada lagi dalam arena (industri). Mungkin juga orang-orang industri sudah lupakan saya.

“Jika mereka ingat, pasti ada tawaran (berlakon) yang masuk... ini langsung tidak ada," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Menurut pemilik nama penuh Abdul Jalil Abdul Hamid itu, ketiadaan tawaran berlakon mungkin disebabkan banyak pihak menyangka dia sudah lagi tidak boleh bekerja.

Tambahan pula baru-baru ini Jalil disahkan mengalami masalah jantung.

Bagaimanapun, pelakon Bisik Pada Langit itu menegaskan, walaupun kini meniti 'usia bonus' dia masih mempunyai kemampuan untuk bekerja dengan baik.

“Memang itulah harapan saya, iaitu untuk bekerja. Itu satu-satunya sumber kewangan untuk pelakon senior seperti saya.

"Kalau tak bekerja, dari mana nak dapat duit, perbelanjaan membeli ubat-ubatan pula memakan kos hingga RM7,000 sebulan," katanya.

Sepanjang tempoh 'dilupakan' itu, Jalil berkata, dia menyara hidup dengan sedikit sebanyak wang simpanan yang masih ada.

Sakit dah berkurangan

Tambahnya dia enggan terlalu bergantung kepada lima orang anaknya kerana setiap mereka mempunyai komitmen masing-masing.

“Tambahan pula, saya menyara seorang anak orang kurang upaya. Jadi, saya masih perlu memikirkan bagaimana untuk meneruskan kelangsungan hidup. Orang rumah juga tidak bekerja,” katanya.

Pada 9 Mac lalu, Jalil dilaporkan mengalami masalah jantung dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang.

Jalil, 66, ketika itu dilaporkan berkata, antara tanda awal dialami adalah gangguan pernafasan yang terjadi sejak dulu.

Mengulas perkembangan kesihatannya, Jalil berkata, dia masih menunggu maklum balas daripada hospital mengenai sebarang komplikasi - jika ada - penyakit jantung yang dihidapi.

Namun, menurutnya, keadaannya sudah beransur pulih selepas dimaklumkan terdapat pembengkakan pada jantungnya sebelum ini.

“Masa itu doktor maklumkan, fungsi jantung yang lemah mengakibatkan masalah pada buah pinggang dan hati. Padahal, saya tiada masalah buang pinggang mahupun hati sebelum ini.

“Saya masih menunggu keputusan rasmi. Tapi alhamdulillah, keadaan saya beransur pulih, sakit pun berkurangan” katanya.